ISU kecaman tanpa kawalan, komen menghina dan biadab di media sosial mengundang kesan yang serius dalam masyarakat.
Sebilangan pengguna laman sosial seolah‑olah berani menyuarakan pendapat tanpa batasan sehingga mencetuskan ketegangan sosial, kerosakan reputasi seseorang individu seterusnya menimbulkan implikasi undang-undang.
Terdapat segelintir pelayar media sosial melontarkan komen mengutuk yang melampaui sempadan apatah lagi menyentuh sensitiviti agama, institusi raja, serta individu yang tidak bersalah.
Pelakon, Nabila Huda turut mengutarakan perkara sama sebelum ini apabila memberitahu tidak membuka akaun media sosial kerana terlalu banyak pengguna yang bersikap ‘toksik’.
Nabila juga memaklumkan pernah terbaca komen yang penuh dengan kebencian membabitkan satu kes yang dipaparkan di media sosial.
Mungkinkah golongan yang membuat komen di laman sosial orang lain, merasakan kebebasan tanpa tanggungjawab, sehingga berani mengeluarkan perkataan yang kurang sopan?
Sedangkan sikap mereka yang cetek kesedaran mengenai undang‑undang menyebabkan tindakan itu boleh disiasat sehingga diheret ke mahkamah.
Terbaharu, seorang penuntut lelaki di sebuah institusi pengajian tinggi awam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang pada Selasa berhubung kes memuat naik gambar memijak al-Quran dan hantaran menghina Rasulullah.
Sebelum itu, pada 4 Februari 2025, seorang pembantu tukang jahit, Norli Mohamed Yusof, 53, didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas mengaku bersalah menghina Yang di‑Pertuan Agong di ruangan komen Facebook.
Mengikut fakta kes, seorang pengadu telah melihat satu hantaran bergambar di sebuah akaun Facebook yang menunjukkan gambar Sultan Ibrahim bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim makan tengah hari di sebuah restoran asam pedas popular.
Pada 25 Februari lalu, peniaga apam balik, Muhammad Azmirul Iman Ulul Azmi, 23, selaku orang kena saman (OKS) didenda RM11,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat hantaran video lucah, dua tahun lalu.
Berdasarkan fakta kes, pengadu melihat video berkenaan dan berasa terganggu kerana ia menunjukkan aktiviti lucah yang dijual secara terbuka.
Pengadu kemudian membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui portal aduan atas talian sebelum pegawai yang menjalankan siasatan membuat pemeriksaan terhadap lelaki itu di Balai Polis Mentakab.
Impak daripada kebiadaban ini bukan sekadar perbalahan di alam maya, malah memberi kesan nyata kepada mana-mana mangsa yang terlibat.
Individu yang menjadi sasaran kadangkala mengalami tekanan mental, nama baik terjejas, malah dalam beberapa kes paling tragik, kematian akibat tekanan psikologi turut dilaporkan dalam kes buli siber.
Kerosakan reputasi jangka panjang juga boleh mempengaruhi peluang kerja dan hubungan sosial.
Di peringkat nasional, komen menghina institusi penting seperti agama atau raja boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama, mengancam keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Bagi mengatasi perbuatan biadab di media sosial, ia memerlukan tindakan bersepadu, antaranya pendidikan digital dan kefahaman undang‑undang.
Perkara itu perlu ditanam sejak di bangku sekolah, agar pengguna media sosial sedar akan batasan kebebasan bersuara dan implikasi undang‑undang sejak dari usia yang muda.
Kerjasama institusi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga boleh mengadakan kempen kesedaran, bagi mengenai etika komunikasi dalam talian serta kepentingan keharmonian sosial.
Pelaksanaan hukuman yang konsisten oleh mahkamah akan memberi mesej jelas bahawa kebiadaban dalam talian membawa akibat, bukan sekadar klik dan menatal (scroll).
*Noor Azlida Alimin ialah wartawan Sinar Harian





