Tersalah tekan pedal minyak, dua pelanggan cedera dirempuh kereta

LocalCars
16 Apr 2026 • 10:33 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kenderaan yang terlibat selepas pemandu tersalah tekan pedal minyak dan merempuh restoran serta menyebabkan dua pelanggan cedera di Jalan Papar Lama, Up Town Nambazan, Penampang.

PENAMPANG - Tersalah tekan pedal minyak punca dua pelanggan yang sedang duduk di kawasan sebuah restoran cedera akibat dirempuh kenderaan dalam kejadian di Jalan Papar Lama, Up Town Nambazan, di sini, pada petang Rabu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.27 petang itu turut tular di media sosial pada hari yang sama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan melibatkan dua kenderaan seperti video yang tular di media sosial itu.

"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang wanita tempatan yang sedang mengundur keluar dari kawasan parkir sebelum melanggar sebuah kenderaan lain di belakangnya.

"Akibat perlanggaran tersebut, pemandu kenderaan yang dilanggar dipercayai telah tersalah menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan naik ke kaki lima premis makanan berkenaan.

"Dua pelanggan masing-masing lelaki dan wanita yang berada di lokasi hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya lagi, kedua-dua pemandu yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan namun kes disiasat di bawah Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

"Polis menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati ketika memandu serta tidakk membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang tular di media sosial itu," katanya

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved