Tersekat banjir, orang awam bantu pesakit pindah ambulans

19 Apr 2025 • 11:03 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Azmie Lim

LAHAD DATU: Orang ramai yang terkandas akibat banjir kilat yang melanda Jalan Tengah Nipah sehingga menyebabkan jalan berhampiran Warung Bibik tidak boleh dilalui bekerjasama untuk membantu dan memindahkan seorang pesakit dari sebuah ambulans ke ambulans lain di seberang jalan.

Akibat hujan lebat pada Khamis, jalan mula dinaiki air sekitar jam 3 petang menyebabkan semua kenderaan berhenti di tepi jalan kerana tidak dapat melalui kawasan itu.

Sementara menunggu air surut, sebuah ambulans tiba dan sedang dalam perjalanan menuju ke Hospital Lahad Datu untuk menghantar seorang pesakit.

Menurut salah seorang saksi di lokasi kejadian, ambulans tersebut datang dari Tungku dan turut tidak dapat melepasi jalan yang dinaiki air.

Tidak lama kemudian, sebuah lagi ambulans dari Lahad Datu tiba dan menunggu di seberang jalan untuk proses pemindahan pesakit.

“Kami menghulurkan bantuan dan mengangkat pesakit ke belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) sambil Pegawai Perubatan memantau keadaan pesakit dengan rapi.

“Pesakit dipindahkan dari ambulans yang terperangkap ke sebuah lagi ambulans sebelum dibawa ke Hospital Lahad Datu,” katanya.

Terdahulu, Daily Express melaporkan keadaan Jalan Tengah Nipah yang merupakan jalan utama dari Lahad Datu ke Tungku yang sering dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan jalan tidak boleh dilalui. Pada minggu ini, jalan tersebut dilanda banjir kilat sebanyak dua kali iaitu pada Rabu dan Khamis yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas teruk.

Ahli Dewan Undangan Negeri Segama Datuk Mohamaddin Ketapi pada Selasa turut membangkitkan isu ini semasa sidang Dewan Undangan Negeri dan sekali lagi menyuarakannya pada persidangan Khamis.