
PENAMPANG: Pelaksanaan Projek Naik Taraf Tamu Donggongon yang tertangguh kira-kira tujuh tahun lalu, kini bermula sekali gus memenuhi aspirasi masyarakat di kawasan itu, khususnya peniaga setempat.
Ahli Parlimennya, Datuk Ewon Benedick berkata, pelaksanaan projek dengan kos RM7 juta di atas tapak sedia ada berkeluasan 0.09 hektar itu dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.
“Selain mengekalkan identiti budaya masyarakat, pelbagai kemudahan tambahan akan dibina di bawah projek dengan reka bentuk baru ini antaranya tambahan 550 lot jualan, termasuk tandas lelaki/wanita dan tandas mesra orang kelainan upaya (OKU).
“Malah, ruang mandi untuk peniaga juga disediakan serta pembinaan pasar kering dan basah secara berasingan, tempat letak kereta serta beberapa kemudahan lainnya yang memenuhi keperluan peniaga dan masyarakat setempat.
“Projek ini sudah bermula pada 8 April baru-baru ini dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2026,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Tamu Donggongon, di sini, Khamis.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, pelaksanaan projek sebelumnya diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2018 lalu.
Namun ia tertangguh atas sebab-sebab tertentu dan menyebabkan peruntukan projek ditarik balik, sehingga beliau mengambil inisiatif untuk merealisasikannya sebaik terpilih sebagai Ahli Parlimen Penampang pada 2022.
“Kurang dua bulan selepas menjadi Ahli Parlimen Penampang, saya telah membawa Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri serta beberapa pihak lagi untuk melawat Tamu Donggongon ini.
“Ia bagi meminta peruntukan untuk projek ini diteruskan dan pada masa sama perolehan dipercepatkan dan hasilnya hari ini, projek naik taraf Tamu Dongongon telah bermula dan saya berharap siap pada masanya,” tegasnya.
Beliau berkata, pihaknya di bawah platform Majlis Tindakan Pembangunan Daerah Penampang akan memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan tiada kelewatan.
Katanya, pemantauan juga akan dibuat secara konsisten setiap dua bulan dan inisiatif berkenaan juga melibatkan pelaksanaan beberapa projek pembangunan lainnya di kawasan itu.
“Dengan pelaksanaan projek naik taraf Tamu Donggongon ini, saya anggap sebahagian manifesto pilihanraya saya sebelum ini iaitu memastikan apa yang tertangguh di Penampang dapat dimulakan, sudah tercapai,” katanya.

