Kenderaan elektrik dari China semakin dilihat sebagai pilihan global, tetapi satu jenama kenderaan elektrik dari Amerika Syarikat, Tesla, dilihat masih lagi teguh menjual kenderaan-kenderaan mereka di pasaran China.
Akan tetapi, kerana perang perdagangan yang sedang berlaku diantara Amerika Syarikat dan China, masing-masing telah mengenakan nilai tarif yang sangat tinggi diantara satu sama lain, Tesla nampaknya perlu melakukan satu keputusan drastik berkenaan dua daripada model kereta elektrik mereka.
Tidak lama lagi, dua model kereta mereka, iaitu Tesla Model S dan Tesla Model X, dua daripada model kenderaan elektrik termahal mereka tidak lagi akan ditawarkan di negara tersebut, kerana ia tidak lagi berbaloi dibawa masuk ke negara tersebut, khususnya kerana kedua-dua model ini hanya dibina di kilang mereka di Amerika Syarikat.

Semua produk yang diimport masuk dari Amerika Syarikat ke pasaran China akan dikenakan tarif 125 peratus, dan oleh kerana ini, Tesla telah membuat keputusan untuk tidak menjual kedua-dua model tersebut di negara itu. Perkara ini juga dilaporkan bukan satu kerugian besar untuk Tesla kerana Model S dan Model X merupakan model yang tidak sepopular dua lagi model kenderaan elektrik mereka.
Untuk model-model lain seperti Tesla Model 3 dan Tesla Model Y, kereta-kereta ini dibina di China untuk pasaran tersebut, dan tidak terkesan oleh tarif yang dikenakan oleh kerajaan China. Malah, model-model inilah yang dijual oleh Tesla untuk pasaran-pasaran lain di rantau Asia.



