Tesla Supercharger V4 pertama Asia Tenggara dipasang di IOI City Mall Putrajaya dan IOI Mall Puchong

Cars
3 May 2024 • 11:04 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Malaysia sekali lagi menempa nama dalam sejarah jenama Tesla. Negara kita adalah lokasi pertama pemasangan V4 Supercharger untuk rantau Asia Tenggara. Sekiranya anda peminat jenama itu dan ingin melihat sendiri secara lebih dekat, anda boleh lawati IOI City Mall Putrajaya dan IOI Mall Puchong. Di setiap lokasi, anda boleh menemui 4 Supercharger V4 ini dan 1 Destination Charger.

image is not available

Buat masa ini, semua pengecas ini adalah ekslusif untuk kenderaan Tesla dan kadar bayarannya adalah sama seperti pengecas Supercharger sedia ada iaitu RM1.25/kWh sementara Destination Charger (AC) boleh digunakan secara percuma sehingga satu tarikh yang diberitahu kemudian. Caj idle juga dikenakan pada kadar RM4.00.

image is not available

Antara pembaharuan yang dibawakan Supercharger V4 berbanding Supercharger V3 adalah rekaan yang lebih baharu disamping kabel yang lebih panjang. Ia akan memudahkan EV berjenama lain yang posisi port pengecasnya tidak sama dengan Tesla untuk gunakan stesen ini apabila rangkaian pengecasan Supercharger dibuka kepada kenderaan bukan Tesla.

V4 turut beroperasi pada paras kuasa 250kW sama seperti V3 namun menurut Tesla, ia boleh dinaik taraf kepada kuasa lebih tinggi apabila diperlukan kelak. Menggunakan pengecas ini, sebuah Tesla Model 3 Long Range boleh menambah jarak kembara 282km dengan 15 minit pengecasan.

image is not available

Salah satu ciri menarik Supercharger berbanding pengecas EV biasa adalah pengguna Tesla boleh cucuk dan pengecas dimulakan secara automatik tanpa perlu pengguna kendalikan aplikasi untuk mengaktifkan pengecasan. Bayaran akan dikenakan kepada akaun Tesla pemilik kenderaan.