KOTA MARUDU - Lelaki yang menetak isterinya sehingga parah berjaya ditahan polis selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu.
Suspek berusia 50 tahun yang juga warga asing itu ditahan sekitar jam 12 tengah malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin berkata, suspek juga turut mengaku perbuatan menetak isterinya pada Khamis.
"Suspek sudah ditangkap pada jam 12 tengah malam tadi dan dia datang sendiri ke balai polis untuk menyerahkan diri dan mengaku perbuatannya.
"Suspek mengatakan bahawa dia tidak berpuas hati kerana isterinya tidak mengaku ada hubungan dengan jiran-jiran lelaki," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum itu, seorang wanita berusia 40 tahun mengalami kecederaan parah bahagian dagu, leher, kedua-dua tangan dan lutut selepas dipercayai diserang suaminya sendiri.
Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu bermula dengan perselisihan faham yang berpunca daripada perasaan cemburu suspek dengan menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan jiran lelaki.
Susulan kejadian itu, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.






