Tewaskan Taiwan, Skuad Harimau Malaya Dipuji FIFA Lagi

22 Nov 2023 • 11:42 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available

Skuad Harimau Malaya dipuji Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) lagi selepas menumpaskan Taiwan dalam Saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 malam tadi.

Menerusi laman X, FIFA membuat ciapan semula (repost) satu perkongsian daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di platform tersebut.

“Kemenangan berturut-turut buat Malaysia,” katanya.

Skuad Harimau Malaya dipuji FIFA lagi

Difahamkan, sebelum ini FIFA telah memberikan pujian kepada pasukan bola Malaysia selepas meraih kemenangan dalam perlawanan menentang Republik Kyrgyzstan 4-3 baru-baru ini.

“Malaysia mempamerkan aksi kebangkitan semula yang sempurna dalam pembukaan perlawanan kelayakan mereka,” ciapnya.

Perlawanan menentang Taiwan menyaksikan pasukan kendalian Kim Pan Gon melakukan beberapa percubaan ke gawang Taiwan.

Namun begitu, separuh masa pertama perlawanan di padang Stadium Perbandaran Taipei itu diakhiri dengan keputusan seri 0-0 bagi kedua-dua pasukan.

Walau bagaimanapun, Harimau Malaya menemui rentaknya pada waktu separuh masa kedua apabila mereka berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-72 melalui Darren Lok.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat masa perlawanan, sekali gus membawa tiga mata berharga buat Malaysia sebagai bekalan ke perlawanan seterusnya.

image is not available

Foto: Berita Harian

Sekadar info, Malaysia kini berada di kedudukan teratas dalam Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan enam mata selepas dua perlawanan.

Sumber: X @FIFAWorldCup