Tex Cycle catat peningkatan keuntungan sebelum cukai 21% pada suku kedua FY25

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2025 • 9:43 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tex Cycle catat peningkatan keuntungan sebelum cukai 21% pada suku kedua FY25

image is not available

13/08/2025 - 09:43

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Tex Cycle Technology (M) Bhd mengekalkan momentum pertumbuhan apabila keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (Q2 FY25) meningkat 21% kepada RM3.4 juta berbanding RM2.8 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Gary Dass Anthony Francis berkata, peningkatan itu didorong oleh sumbangan kukuh segmen dagangan, tenaga boleh diperbaharui serta keuntungan pelaburan dalam pelaburan dalam saham dan aset pasaran.

“Hasil suku tersebut turut meningkat 5% kepada RM8.6 juta daripada RM8.3 juta pada Q2 FY24, disokong oleh pertumbuhan RM1.3 juta dalam hasil dagangan dan peningkatan RM0.6 juta hasil tenaga boleh diperbaharui berikutan pengeluaran solar lebih tinggi di bawah skim Feed-in-Tariff (FiT) dan projek Perjanjian Pembelian Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CREPPA).

“Bagaimanapun, segmen kitar semula mencatatkan penurunan hasil 24% akibat permintaan jualan lebih rendah, namun impak itu sebahagiannya diimbangi oleh prestasi positif dua segmen lain,” katanya dalam kenyataan.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1H FY25), hasil kumpulan meningkat 8% kepada RM17.5 juta berbanding RM16.3 juta pada tempoh sama tahun lalu.

PBT pula berjumlah RM6 juta, lebih rendah berbanding RM10.2 juta sebelum ini yang termasuk keuntungan sekali sahaja sebanyak RM15 juta daripada pelupusan pelaburan pada 2024.

Tanpa mengambil kira keuntungan luar biasa itu, prestasi PBT tahun ini mencerminkan operasi yang lebih konsisten dengan perbelanjaan yang terkawal.

Tambahnya, prestasi separuh pertama FY25 membuktikan kekuatan operasi teras dan strategi pelaburan berdisiplin Tex Cycle.

“Dengan kejayaan pengambilalihan Meridian World, Tex Cycle kini menembusi segmen e-waste yang berkembang pesat dan berkhusus dalam pengurusan sisa terjadual.

“Rekod prestasi hampir 30 tahun Meridian World dalam pengurusan sisa kimia dan kod sisa niche seperti e-waste meletakkan kami dalam kedudukan strategik untuk menguasai pasaran dan mengukuhkan kehadiran industri,” katanya.

Beliau berkata, pada 29 Julai lalu, loji janakuasa pengegasan biojisim Tex Cycle (P2) Sdn Bhd berkapasiti 2MW telah menamatkan ujian Tarikh Operasi Permulaan (IOD) dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan kini menjalani ujian Kualiti Kuasa (PQ), sebelum melaksanakan Ujian Penerimaan/Penilaian Prestasi (ATPA) mengikut keperluan SEDA untuk Tarikh Permulaan Tarif (FiTCD).

Pengambilalihan Meridian World pada Ogos 2025 turut mempelbagaikan portfolio Tex Cycle kepada pemprosesan sisa kimia, rawatan air sisa dan perdagangan bahan kimia industri, seiring dengan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kumpulan. - DagangNews.com

standard