Keuntungan bersih 2QFY25 Tex Cycle naik 20.6% disokong pulangan pelaburan

13/08/2025 - 10:03
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 13 Ogos – Tex Cycle Technology (M) Bhd mengumumkan keuntungan bersih bagi suku kedua tahun kewangan 2025 meningkat 20.6% berbanding tahun lalu.
Syarikat kitar semula itu berkata, peningkatan itu didorong oleh keuntungan daripada pelaburan dalam saham tersenarai meskipun berlaku penyusutan dalam jualan kitar semula.
“Bagi suku berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25), keuntungan bersih meningkat kepada RM3.02 juta daripada RM2.51 juta pada tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Hasil suku tahunan naik 4.59% kepada RM8.63 juta berbanding RM8.26 juta tahun lalu, disokong oleh peningkatan jualan dalam segmen perdagangan dan penjanaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih tinggi, sekali gus mengimbangi penurunan 24% dalam hasil segmen kitar semula dan pemulihan.
Tiada dividen diumumkan bagi suku tersebut.
Bagi separuh pertama tahun kewangan, keuntungan bersih merosot 43.2% kepada RM5.18 juta daripada RM9.11 juta pada tempoh sama FY24, walaupun hasil meningkat 7.8% kepada RM17.53 juta daripada RM16.25 juta.
Keuntungan tahun sebelumnya disokong oleh keuntungan sekali sahaja berjumlah RM15 juta daripada pelupusan pelaburan.
Namun, Tex Cycle kekal optimis terhadap prospek sektor pengurusan sisa dan tenaga boleh diperbaharui, sejajar dengan penekanan kerajaan terhadap pematuhan alam sekitar dan inisiatif tenaga boleh diperbaharui sebagai sebahagian daripada matlamat Malaysia mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050.
Syarikat itu berkata, pengumuman progresif berhubung projek baharu serta aktiviti penggabungan dan pengambilalihan akan dibuat dari semasa ke semasa. - DagangNews.com
standard


