
PETALING JAYA– Lembaga Tabung Haji (TH) mengesan aktiviti siber mencurigakan pada 7 Oktober lalu dan mengambil tindakan segera bagi menangani insiden berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, TH memaklumkan sebagai langkah pencegahan serta memperkukuh tahap keselamatan, pemantauan menyeluruh terhadap semua sistem sedang dilaksanakan.
“ Sehubungan itu, beberapa perkhidmatan kepada pendeposit digantung sementara bagi melindungi kepentingan mereka dan memastikan keselamatan sistem terus terpelihara.
“TH juga sedang bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia bagi menangani perkara ini,” menurut kenyataan itu.
TH turut memberi jaminan bahawa simpanan dan data peribadi pendeposit kekal selamat serta terpelihara.
Pada masa sama, TH memohon maaf atas kesulitan yang mungkin dihadapi pendeposit susulan gangguan perkhidmatan berkenaan.
TH akan memaklumkan perkembangan terkini termasuk status pemulihan perkhidmatan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pusat Perhubungan TH di talian 03-6207 1919. – KOSMO! ONLINE
The post TH gantung sementara sistem susulan aktiviti siber mencurigakan appeared first on Kosmo Online.




