
Kerajaan menegaskan bahawa kerugian hampir RM13 bilion Lembaga Tabung Haji (TH) yang berpunca daripada salah urus kewangan dan pelaburan sebelum 2018 itu tidak hilang sebaliknya ditanggung bersama.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam satu kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) pada hari ini.
Ia merangkumi RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan menerusi inisiatif penyelamatan menerusi Urusharta Jamaah pada 2018, dan rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH sendiri.
“Salah urus Tabung Haji ditanggung semua, beban kerugian yang dipindah ke Kerajaan akhirnya dipikul rakyat dan semua pembayar cukai, sementara kerugian yang ditanggung Tabung Haji akhirnya menjejas pendeposit di Tabung Haji, kerana kerugian dipikul semua rakyat, akauntabiliti bukan pilihan.” katanya.
Dalam pada itu, laporan RCi turut mendapati 14 pelaburan bermasalah dan proses kelulusan mencurigakan, termasuk insiden penyembunyian maklumat serta manipulasi laporan kesesuaian pelaburan.
"Tujuh daripada 14 pelaburan tersebut telah rugi 100% nilai pelaburan, termasuk Al-Rawda (RM1.8 bilion), Putrajaya Perdana (RM193 juta) dan Trurich Resources (RM364 juta).
"Lima kertas siasatan telah dibuka; tuntutan sivil dikejar di dalam dan luar negara, termasuk penyiasatan atas mantan pengerusi dan pengurusan tertinggi berhubung unexplained wealth," katanya lagi.
Tambahnya, Kerajaan tidak akan campur tangan dan tidak akan melindungi sesiapa; keputusan pendakwaan terletak sepenuhnya pada Pendakwa Raya.
Atas sebab yang sama juga, Kerajaan komited memastikan krisis ini tidak berulang.
"Selaras dengan syor RCI, Kerajaan akan menyusul dengan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) akan diteruskan, antaranya untuk memperkenalkan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti ke atas aktiviti pelaburan Tabung Haji," katanya .
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa kerajaan menegaskan komitmen penuhnya terhadap TH dengan kedudukan hari ini stabil dan semakin kukuh.
Baca juga:Ini terbukti melalui jumlah aset RM98.58 bilion melebihi liabiliti RM95.63 bilion pada 31 Disember 2025 selain dana simpanan pendeposit meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025 dan kadar agihan meningkat daripada 1.25 peratus (2018) kepada 3.50 peratus (2025), berjumlah RM3.22 bilion.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Dr. Zulkifli bin Hasan turut meletakkan tanggungjawab kepada pendeposit sebagai asas perbahasan
"Amanah dalam Tabung Haji ialah wang seorang guru, seorang peniaga kecil dan seorang pesara, yang disimpan untuk menunaikan haji.
"Apabila amanah sebesar ini tergugat, kita tidak boleh berselindung di sebalik angka.
"Maka menjadi tanggungjawab kita semua untuk menerima kebenaran, memperbetulkan kelemahan dan memastikan sejarah yang sama tidak akan berulang.” tegasnya.
Tambah beliau, menegaskan bahawa simpanan pendeposit selamat dengan keseluruhan simpanan setiap pendeposit di TH dijamin oleh Kerajaan di bawah seksyen 24 Akta 535, jaminan yang wujud sejak lembaga itu ditubuhkan dan masih kekal sehingga ke hari ini.
"Simpanan haji rakyat selamat, dan institusi yang menyimpan cita-cita haji rakyat akan sentiasa dijaga, untuk generasi hari ini dan generasi akan datang." katanya.






