hamden12/08/2026 - 08:00 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Ogos - Kegagalan di pelbagai peringkat menyebabkan tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah Lembaga Tabung Haji (TH) mengalami kerugian 100 peratus, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurutnya, kerugian terbesar melibatkan Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co Ltd di Arab Saudi, yang mengalami kemerosotan nilai sepenuhnya berjumlah RM1.86 bilion setakat 31 Disember 2024.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan khas Parlimen mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020.
Dalam kenyataan berasingan Kementerian Kewangan kemudiannya menyatakan kerugian RM193 juta daripada Putrajaya Perdana Bhd dan RM364 juta daripada Trurich Resources Sdn Bhd, yang kedua-duanya mengalami kemerosotan nilai sepenuhnya.
RCI turut mendapati pelaburan TH sebanyak RM63 juta dalam Alfareeda Residential Fund telah dihapus kira sepenuhnya. Pelaburan RM198 juta dalam TH Marine juga mengalami kemerosotan nilai sepenuhnya, bersama RM80 juta daripada pembiayaan RM136 juta yang diberikan kepada syarikat tersebut.
Secara keseluruhan, Amir Hamzah berkata kerugian itu merangkumi RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan melalui proses penyelamatan dan penstrukturan semula aset bermasalah TH pada 2018 menerusi Urusharta Jamaah Sdn Bhd, serta RM2.6 bilion dalam kemerosotan nilai yang direkodkan TH antara 2018 hingga 2025 terhadap pelaburan legasi yang masih dipegangnya.
Amir Hamzah berkata senarai penuh tujuh pelaburan yang mengalami kerugian keseluruhan akan diberikan secara bertulis susulan permintaan beberapa Ahli Parlimen.
Beliau berkata kerugian tersebut bukan sahaja berpunca daripada pelaburan yang lemah, tetapi juga kelemahan dalam membuat keputusan dan salah laku bekas anggota lembaga pengarah.
RCI mendapati terdapat 14 pelaburan bermasalah serta proses kelulusan yang mencurigakan, termasuk penyembunyian maklumat dan manipulasi laporan pelaburan.
Salah laku itu termasuk pembayaran tanpa sekuriti yang sewajarnya, transaksi tanpa jaminan, pemindahan saham sebelum bayaran diterima serta pengalihan dana projek.
“Ini bukan semata-mata isu perakaunan. Penyata kewangan hanya menunjukkan simptom. Punca sebenar ialah salah laku kewangan dan pelaburan.
“Perakaunan ibarat termometer. Ia hanya memberitahu bahawa kita mengalami demam. Menyembunyikan termometer tidak akan menyembuhkan demam. Apa yang perlu dirawat ialah penyakit itu — pelaburan yang kehilangan nilai, risiko yang tidak dikawal dan proses membuat keputusan yang lemah.”," katanya lapor The Edge.
Kerugian Tidak Hilang, Ditanggung Semua Termasuk Pendeposit
Sementara itu dalam kenyataan, Kementerian Kewangan menegaskan menegaskan satu hakikat asas iaitu kerugian yang berpunca daripada salah urus kewangan dan pelaburan sebelum 2018 itu tidak hilang.
"Ia ditanggung bersama. Kerajaan memikul kos penyelamatan dengan wang rakyat, wang pembayar cukai.
"9.7 juta pendeposit turut memikulnya, menerima kadar agihan serendah 1.25 peratus pada tahun 2018 dan sekitar 3 peratus semasa tahun pemulihan. Harga salah urus itu benar-benar dibayar oleh semua," kata kenyataan itu.
Sebanyak lima kertas siasatan telah dibuka; tuntutan sivil dikejar di dalam dan luar negara, termasuk penyiasatan atas mantan pengerusi dan pengurusan tertinggi berhubung 'kekayaan yang tidak dapat dijelaskan'.
"Kerajaan tidak akan campur tangan dan tidak akan melindungi sesiapa; keputusan pendakwaan terletak sepenuhnya pada Pendakwa Raya," kata kenyataan itu.
Atas sebab yang sama juga, Kerajaan komited memastikan krisis ini tidak berulang.
“Selaras dengan syor RCI, Kerajaan akan menyusul dengan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) akan diteruskan, antaranya untuk memperkenalkan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti ke atas aktiviti pelaburan Tabung Haji,” kata Amir Hamzah.
Pengorbanan bersama telah membuahkan hasil, dan Kerajaan menegaskan komitmen penuhnya terhadap Tabung Haji.
Kedudukan Tabung Haji hari ini stabil dan semakin kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion melebihi liabiliti RM95.63 bilion pada 31 Disember 2025.
"Dana simpanan pendeposit meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025; dan kadar agihan meningkat daripada 1.25 peratus (2018) kepada 3.50 peratus (2025), berjumlah RM3.22 bilion," katanya.
Seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, Amir Hamzah turut menegaskan simpanan pendeposit selamat dan keseluruhan simpanan setiap pendeposit di Tabung Haji dijamin oleh Kerajaan di bawah seksyen 24 Akta 535, jaminan yang wujud sejak Tabung Haji ditubuhkan dan masih kekal sehingga ke hari ini.
"Simpanan haji rakyat selamat, dan institusi yang menyimpan cita-cita haji rakyat akan sentiasa dijaga, untuk generasi hari ini dan generasi akan datang," katanya. - DagangNews.com


![‘7 Daripadanya Rugi 100%’ – Amir Hamzah Dedah Tabung Haji Kerugian RM13 Bilion Daripada 14 Pelaburan [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/‘7-Daripadanya-Rugi-100-Amir-Hamzah-Dedah-Tabung-Haji-Kerugian-RM13-Bilion-Daripada-14-Pelaburan.jpg?t=1786506262)



