
PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) akan memulakan Kursus Asas Haji (KAH) bagi musim 1448H/2027M bermula esok sebagai persediaan awal memperkukuh ilmu dan kefahaman bakal jemaah sebelum ke Tanah Suci.
TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan, KAH memberi penekanan kepada penguasaan ilmu asas ibadah haji dan umrah selain panduan praktikal bagi membantu bakal jemaah membuat persediaan dari aspek ibadah, kesihatan dan pengurusan diri.
Bagi musim haji kali ini, KAH akan dilaksanakan sebanyak 12 siri di 200 masjid di seluruh negara bagi memudahkan bakal jemaah serta orang awam mendapatkan bimbingan haji berhampiran kawasan masing-masing.
Menurut TH, kursus berkenaan turut dibuka kepada orang awam yang ingin mendalami ilmu berkaitan ibadah haji.
“TH menggalakkan semua bakal haji musim 1448H/2027M mengambil peluang mengikuti KAH secara serius dan konsisten kerana modul pembelajaran KAH adalah asas utama bagi kursus seterusnya iaitu Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji.
“Persediaan menunaikan haji bukan sahaja melibatkan aspek kewangan dan kesihatan, malah memerlukan kefahaman ilmu yang mencukupi bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.
Jadual serta maklumat lanjut mengenai KAH boleh disemak menerusi aplikasi THiJARI, laman web rasmi TH atau Pejabat TH berhampiran.
Bakal haji dan orang awam juga boleh mengakses bahan pembelajaran secara dalam talian menerusi platform e-Bimbingan Haji TH.
Dalam pada itu, TH mengingatkan bakal jemaah supaya membuat persediaan secara menyeluruh selaras dengan konsep istito’ah termasuk menjaga kesihatan dan kecergasan, meningkatkan simpanan secara konsisten serta memastikan maklumat peribadi sentiasa dikemas kini.
“Bakal haji juga disaran mengikuti saluran rasmi TH bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan persediaan dan pelaksanaan haji musim 1448H/2027M,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post TH mula Kursus Asas Haji musim 1448H/2027M esok appeared first on Kosmo Online.






