Bayaran Haji Jemaah B40 Kekal RM15,000 Bagi Musim 1448H/2027M

LocalPersonal Finance
9 Sep 2026 • 8:23 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Bayaran Haji Jemaah B40 Kekal RM15,000 Bagi Musim 1448H/2027M

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Kadar Bayaran Haji bagi jemaah Muassasah daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) bagi musim 1448H/2027M kekal RM15,000 seorang, manakala Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) dikekalkan pada RM18,300 atau 55 peratus daripada kos keseluruhan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata kadar HAFIS bagi kumpulan itu merangkumi bantuan RM1,000 daripada kerajaan diteruskan untuk tahun kelima berturut-turut bagi jemaah yang menunaikan ibadah berkenaan buat kali pertama.

Beliau berkata bagi jemaah kumpulan M40 pula, kadar bayaran ditetapkan pada RM23,500 dengan bantuan HAFIS sebanyak RM9,800 iaitu 29 peratus daripada kos keseluruhan, manakala jemaah kumpulan T20 perlu menjelaskan kos penuh iaitu RM33,300.

Baca juga:

"Kerajaan MADANI menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) kekal komited memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan secara mampan dan saksama dengan mengekalkan kos haji Muassasah bagi musim 1448H/2027M pada RM33,300 seorang untuk tahun keempat berturut-turut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkifli berkata TH memperuntukkan sebanyak RM234 juta bagi menanggung HAFIS secara bersasar untuk musim berkenaan.

Beliau berkata meskipun berdepan tekanan inflasi perkhidmatan dan impak konflik geopolitik di Asia Barat, TH berjaya mengawal kenaikan kos berasaskan tadbir urus yang cekap tanpa mengorbankan kualiti perkhidmatan.

Katanya, kecemerlangan standard perkhidmatan TH terbukti apabila Malaysia memenangi Anugerah Labbaytum Diamond buat kali kedua pada musim haji 2026.

"Kerajaan bersama TH akan sentiasa memantau struktur kos dari semasa ke semasa mengikut persekitaran global demi memastikan kebajikan dan kelancaran urusan duyufurrahman terus dipelihara," katanya.

Mengulas persediaan musim haji 1448H/2027M, Zulkifli berkata persiapan awal telah dimulakan dan surat tawaran haji akan dikeluarkan secara berperingkat bermula bulan ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati bakal jemaah supaya membuat persediaan rapi dari segi kesihatan, kewangan dan kefahaman ilmu selaras dengan konsep istito'ah (kemampuan).

Beliau turut menzahirkan keyakinan hubungan erat antara Malaysia, TH dan Kerajaan Arab Saudi akan terus memperkukuh kerjasama serta kualiti penyampaian perkhidmatan haji terbaik bagi jemaah negara.


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved