TH patut rugi RM1.4 bilion jika guna MFRS

LocalBusiness & Finance
1 Aug 2026 • 2:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: TH patut rugi RM1.4 bilion jika guna MFRS

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) tertakluk kepada Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 [Akta 240] yang mewajibkan penyata kewangan disediakan berdasarkan prinsip perakaunan diiktiraf, Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS)

TH berkata, berdasarkan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebelum ini mendapati penyata kewangan TH bagi tahun kewangan 2017 tidak menggunakan pakai MFRS.

Katanya, sekiranya piawaian tersebut dipatuhi sepenuhnya pada ketika itu, institusi berkenaan sepatutnya merekodkan kerugian bersih kira-kira RM1.4 bilion, berbanding keuntungan bersih RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan bagi tahun kewangan tersebut.

“RCI berpendapat bahawa penggunaan kaedah Realisable Asset Value (RAV) adalah tidak selaras dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji berkaitan penilaian aset kerana RAV tidak direkodkan dalam penyata kewangan TH yang diaudit.

“Dapatan ini memperkukuh keperluan untuk memastikan penyata kewangan disediakan secara telus, konsisten dan mematuhi piawaian perakaunan yang ditetapkan,” katanya, hari ini.

RCI turut menyatakan pendekatan yang diambil TH dalam mengagihkan keuntungan dari tahun 2014 hingga 2017 tidak mematuhi Seksyen 22 Akta Tabung Haji kerana agihan keuntungan hendaklah dibayar daripada keuntungan sebenar dan bukannya daripada dana pendeposit sendiri.

Menurut RCI, amalan tersebut memberi kesan kepada rizab kewangan TH serta mewujudkan jangkaan berterusan terhadap kadar Agihan Keuntungan yang tinggi dalam kalangan pendeposit. Kedudukan kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017 turut menunjukkan jurang defisit aset-liabiliti yang berkembang daripada RM352 juta kepada RM4.093 bilion.

“Sebelum ini, Agihan Keuntungan diisytiharkan sebelum audit ke atas penyata kewangan dimuktamadkan. Sehubungan itu, RCI telah mengesyorkan agar Agihan Keuntungan hanya diisytiharkan berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit, selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan kemampanan kewangan,” katanya.

TH berkata, institusi itu menyambut baik syor tersebut dan telah melaksanakan pendekatan berkenaan sejak 2022.

“Kini, Agihan Keuntungan hanya diumumkan berdasarkan keputusan kewangan yang telah diaudit bagi memperkukuh integriti proses pelaporan kewangan dan meningkatkan keyakinan pendeposit terhadap institusi,” katanya.

Menurutnya, hasil pelaksanaan reformasi tadbir urus, penambahbaikan pengurusan risiko serta pengukuhan strategi pelaburan, prestasi kewangan TH terus menunjukkan perkembangan positif dengan Agihan Keuntungan meningkat daripada 3.10 peratus bagi tahun kewangan 2023, kepada 3.25 peratus pada 2024, sebelum mencapai 3.50 peratus pada 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan TH untuk mengurus simpanan lebih 9.8 juta pendeposit secara berhemat, telus dan mampan, selaras dengan mandat institusi sebagai pengurus dana umat Islam serta pemudah cara ibadah haji negara,” katanya. – UTUSAN 

The post TH patut rugi RM1.4 bilion jika guna MFRS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved