TH Plantations dijangka catat prestasi lebih baik didorong pemulihan pengeluaran - Maybank IB

27/05/2025 - 11:10
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 27 Mei – TH Plantations Bhd dijangka mencatatkan prestasi lebih baik disebabkan pengeluaran yang kembali pulih berikutan cuaca yang kini kembali normal, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Bagi suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25), syarikat itu mencatatkan untung bersih selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patmi) RM8.4 juta, susut 67% berbanding suku sebelumnya dan menurun 2% secara tahunan.
Patmi terkesan akibat kerugian tukaran asing belum dicapai, namun diimbangi keuntungan nilai saksama aset biologi, dengan Patmi teras diselaraskan kepada RM10.8 juta atau 23% daripada unjuran penuh tahun kewangan firma penyelidikan.
Maybank IB menyemak turun unjuran pendapatan TH Plantations selepas keputusan 1QFY25 dilihat sedikit di bawah jangkaan, dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada 54 sen berbanding 58 sen sebelum ini.
Firma penyelidikan itu turut mengurangkan jangkaan pertumbuhan buah tandan segar (BTS) 4% bagi FY25, FY26, dan FY27.
Pertumbuhan tahunan FY25 hanya 1% berbanding 5% sebelum ini, manakala FY26 dan FY27 kekal pada 2% tahun ke tahun.
Patmi teras bagi FY25 hingga FY27 turut disemak turun 7% setahun.
"Pendapatan syarikat amat sensitif terhadap perubahan output memandangkan anggaran kos operasi menyeluruh kepada pelanggan adalah RM2,800 satu tan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu menyifatkan pemangkin utama kumpulan masih bergantung kepada kecekapan usaha pengurangan hutang bagi memperkukuh kedudukan kunci kira-kira.
Setakat akhir Mac 2025, kumpulan itu masih menyenaraikan aset berjumlah RM810 juta untuk pelupusan.- DagangNews.com
standard

