
Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik keputusan kerajaan untuk mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu yang berlaku sebelum tahun 2018 kepada umum.
Dalam kenyataan pada Rabu, TH berkata pihaknya mengambil maklum syor-syor yang dikemukakan menerusi laporan berkenaan dan menegaskan institusi itu telah mengambil langkah pembaharuan sejak tempoh tersebut.
Menurut TH, sebanyak 75 peratus daripada syor RCI telah dilaksanakan sebagai usaha memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kesejahteraan institusi berkenaan, manakala baki syor masih dalam proses pelaksanaan.
“Sejak itu, TH telah melangkah ke hadapan dengan melaksanakan pelbagai penambahbaikan termasuk memulihkan kedudukan kewangan, membina rizab serta memperkukuh asas operasi institusi,” katanya.
Baca juga:
‘Kalau betul saya sakau, tahun 2018 Tun M dah penjarakan saya’ – Abdul Azeez
Bayi perempuan maut dalam tandas, pasangan pelajar kolej ditahan
Istana Negeri Sembilan tarik balik darjah kebesaran Rais Yatim
TH turut memaklumkan kejayaannya meningkatkan pengagihan keuntungan kepada pendeposit sebanyak 3.5 peratus, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
Selain itu, TH berkata pihaknya berjaya mengekalkan kos haji pada kadar RM33,300 seorang selama tiga tahun berturut-turut, sekali gus memastikan kemudahan dan kebajikan jemaah haji terus diberi perhatian.
TH menegaskan komitmennya untuk terus melindungi kepentingan para pendeposit, memperkukuh keyakinan masyarakat serta memastikan operasi institusi itu berjalan dengan penuh integriti dan tanggungjawab.
The post TH sambut baik keputusan kerajaan untuk dedah laporan RCI kepada umum appeared first on The Reporter.






