
KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) telah menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan segera terhadap setiap laporan polis serta aduan berhubung isu pengurusan dan operasi institusi itu dalam tempoh 2014 hingga 2020.
Menurut laporan RCI berkenaan yang diterbitkan malam ini, siasatan dalaman dimulakan oleh pengurusan TH pada pertengahan 2018 sebelum membuat empat laporan polis, iaitu dua pada 30 Nov 2018, satu pada 13 Dis 2018 dan satu lagi pada 16 Jan 2019.
Laporan polis pertama yang dibuat pada 30 Nov 2018 oleh bekas Setiausaha Syarikat TH Idrus Ismail membabitkan dakwaan penganjuran aktiviti dan penggunaan wang oleh Yayasan Tabung Haji yang dipercayai menyalahi Memorandum and Articles of Association yayasan berkenaan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan berhubung kes itu dan merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi pertimbangan serta arahan Pendakwa Raya,” menurut laporan itu.
Laporan kedua yang dibuat pada tarikh sama pula berkaitan tindakan TH menjual pegangan ekuitinya dalam PT TH Indo Plantations (THIP) kepada PT Borneo Pacific.
Tindakan itu dibuat selepas pengadu mengesyaki berlaku salah nyataan dan penyembunyian maklumat berhubung penjualan 95 peratus pegangan saham THIP pada 2012 kepada syarikat berkenaan yang dianggarkan bernilai USD910 juta.
Laporan itu memaklumkan siasatan kes itu mengambil masa kerana melibatkan siasatan rentas sempadan, termasuk proses mendapatkan dokumen serta merakam keterangan saksi di Indonesia dengan persetujuan pihak berkuasa negara tersebut.
Sementara itu, laporan polis ketiga yang dibuat pada 13 Dis 2018 oleh bekas Setiausaha Trurich, Aliatun Mahmud, berkaitan tindakan Trurich memasuki perjanjian pembelian saham dengan tiga syarikat di Indonesia bagi memiliki tanah hutan di Kalimantan Utara dan dua syarikat di Indonesia bagi memiliki tanah bertanam kelapa sawit di Kalimantan Tengah.
“Laporan itu mendakwa wujudnya manipulasi laporan kesesuaian tanah yang telah mengelirukan Trurich sehingga syarikat tersebut membuat keputusan memperoleh ladang kelapa sawit bernilai kira-kira USD58 juta antara 2008 hingga 2009,” menurut laporan itu.
Menurut RCI, siasatan kes itu juga masih memerlukan kerjasama pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan dokumen dan keterangan untuk melengkapkan siasatan.
Laporan polis keempat pada 16 Jan 2019 juga oleh Idrus berhubung isu pemberian atau pengisytiharan hibah TH bagi tahun kewangan berakhir 2017 yang didakwa bercanggah dengan Seksyen 22 Akta 535.
“Laporan itu turut mendakwa berlaku salah nyataan dalam dua kertas kerja yang dibentangkan kepada Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah TH pada 6 dan 9 Feb 2018. Adalah difahamkan bahawa salah nyataan ini dibuat bagi membolehkan TH mengisytiharkan kadar hibah yang lebih tinggi kepada pendeposit,” menurut laporan itu.
RCI menjelaskan isu kesahan dan kemampuan TH mengisytiharkan hibah bagi tahun kewangan berakhir 2017 telah dibincangkan secara khusus dalam laporannya kerana melibatkan pematuhan prinsip perakaunan, amalan tadbir urus yang baik serta kedudukan kewangan sebenar TH.
Menurut laporan itu lagi, PDRM telah melengkapkan siasatan bagi laporan berkaitan hibah berkenaan dan merujuk kertas siasatan kepada AGC untuk pertimbangan serta arahan Pendakwa Raya.
Selain itu, RCI juga mendapati beberapa laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, antaranya dakwaan rasuah dalam pembelian ladang Weida Bhd oleh TH Plantation (anak syarikat LTH), dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam penyewaan restoran Opah di KL Sentral, dan pemalsuan dokumen pembekalan rubber seedlings TH Plantation di Ladang TH-Usia Jatimas di Sandakan, Sabah.
-- BERNAMA






