
HAT YAI (THAILAND): Kerajaan Thailand digesa menerima pakai lesen memandu digital warga Malaysia menerusi aplikasi MyJPJ bagi memudahkan pelancong dari negara berkenaan mengendalikan kenderaan sepanjang berada di sini.
Presiden Persatuan Hotel Hat Yai-Songkhla, Dr. Sittipong Sittipatprapha berkata, gesaan bersama beberapa pertubuhan kerajaan (NGO) dan agensi pelancongan telah dikemukakan melalui Jawatankuasa Pelancongan Dewan Rakyat, Jawatankuasa Pelancongan dan Sukan Dewan Negara serta Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT).
Katanya, pertemuan diadakan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Dewan Rakyat, Oratai Kerdsub bagi membincangkan isu berkaitan pelancong Malaysia.
“Ia susulan pelbagai isu yang dihadapi pelancong Malaysia ketika keluar dan masuk Thailand. Antara yang diketengahkan dalam perbincangan itu adalah menghapuskan bayaran kerja lebih masa antara RM2 dan RM4 di semua pusat pemeriksaan imigresen seperti diamalkan sekarang ini.
“Selain itu, saya meminta kerajaan membenarkan pelancong Malaysia menggunakan lesen memandu dalam talian melalui aplikasi MyJPJ kerana negara itu telah pun menggunakan sistem ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sittipong berkata, beberapa isu lain turut dibangkitkan termasuk langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas, memudahkan kemasukan ke Thailand, memulihkan ekonomi di pekan sempadan serta Hat Yai dan mewujudkan tanggapan positif kepada pelancong.
Mengulas isu saman terhadap sekumpulan penunggang motosikal Malaysia di Hat Yai Sabtu lalu, beliau berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada pelancong Malaysia dan pengusaha tempatan berhubung undang-undang yang ketat di Thailand.
“Setakat ini peraturan terutama berkaitan lesen memandu belum berubah dan pelancong Malaysia dinasihatkan mematuhi undang-undang. Perkara ini (lesen memandu) telah berada dalam pengetahuan Komander Polis Wilayah Songkhla dan sedang dipertimbangkan,” katanya.
Beliau turut menerima pandangan orang ramai yang menggesa pihak berkuasa supaya tidak memilih bulu dalam penguatkuasaan undang-undang.
“Ada yang berpendapat tidak adil bagi rakyat Thailand ditangkap kerana ekzos bising sedangkan pelancong Malaysia tidak dikenakan tindakan. Sama ada warganegara Thailand atau asing, semua orang mesti mematuhi undang-undang yang sama,” katanya.
The post Thailand digesa iktiraf lesen digital MyJPJ appeared first on Utusan Malaysia.





