
HAT YAI (THAILAND): Polis trafik Hat Yai menafikan anggotanya bertindak ‘membuli’ sekumpulan 17 orang penunggang motosikal dari Malaysia yang ditahan untuk pemeriksaan.
Pegawai Bahagian Trafik Polis Hat Yai, Sarjan Mejar Weerasak Phansalaiman berkata, semasa sedang bertugas anggota terbabit telah mengesan sekumpulan penunggang motosikal dari Malaysia yang telah melanggar peraturan termasuk menggunakan lampu belakang berkelip-kelip serta bunyi ekzos yang kuat.
Katanya, susulan itu anggota bertugas telah mengarahkan semua warga Malaysia itu ke Balai Polis Hat Yai untuk menjalani pemeriksaan lanjut termasuk ujian bunyi, pengesahan dokumen dan lesen memandu.
“Daripada 17 motosikal yang diperiksa, sembilan didapati melanggar undang-undang jalan raya Thailand, disaman dan didenda. Bukan 15 atau 12 saman berjumlah 15,000 baht (RM1,839) seperti yang didakwa oleh kumpulan berkenaan.
“Saya juga bertindak sopan dan mematuhi prosedur perundangan yang sama rata untuk rakyat Thailand dan pelancong asing. Tiada paksaan, buli atau ugutan dipenjara ditujukan kepada semua penunggang terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum itu tular satu hantaran video dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok yang berkongsi pengalaman disaman oleh pihak berkuasa Thailand selepas didakwa melanggar peraturan.
Mengulas lanjut, Weerasak memberitahu, semasa pemeriksaan dijalankan, polis turut menggunakan alat pengukur tahap bunyi mengikut kriteria undang-undang.
Katanya, bagi kenderaan yang didaftarkan sebelum 2024 had bunyi ialah 95 desibel.
“Kenderaan yang didaftarkan dari 1 Januari 2024 dan seterusnya dihadkan kepada 90 desibel,” ujarnya.-UTUSAN.
The post Polis trafik Hat Yai nafi ‘buli’ 17 penunggang motosikal Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.






