Thailand gesa rakyat sedia beg kecemasan, bekalan cukup untuk 72 jam

4 Nov 2026 • 9:54 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Beg kecemasan mengandungi makanan, air minuman, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas untuk menghadapi kecemasan selama 72 jam.

Rakyat Thailand digesa menyediakan beg kecemasan yang mengandungi bekalan makanan, air minuman, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas mencukupi sekurang-kurangnya 72 jam sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang situasi kecemasan.

Saranan itu dikeluarkan Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) susulan kebimbangan terhadap ketegangan geopolitik global, termasuk konflik di Asia Barat, selain risiko bencana alam yang boleh berlaku tanpa diduga.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Thailand menegaskan langkah tersebut merupakan panduan kesiapsiagaan umum dan bukannya amaran mengenai ancaman keselamatan atau peperangan yang bakal berlaku di negara itu.

Menurut DDPM, penyediaan beg kecemasan penting bagi memastikan setiap isi rumah mempunyai bekalan asas untuk meneruskan kehidupan sekurang-kurangnya tiga hari sekiranya berlaku bencana atau gangguan terhadap perkhidmatan penting.

Antara barangan yang disarankan termasuk makanan tahan lama, air minuman, ubat-ubatan peribadi, kit pertolongan cemas, lampu suluh, peralatan komunikasi, pakaian serta dokumen penting.

Setiap individu turut disarankan menyediakan bekalan air minuman kira-kira tiga liter sehari bagi memastikan keperluan asas mencukupi sepanjang tempoh kecemasan.

Langkah berkenaan juga bertujuan memudahkan proses pemindahan sekiranya penduduk diarahkan meninggalkan kediaman akibat banjir, kebakaran atau bencana lain.

Ketua Pengarah DDPM, Nirat Pongsitthithavorn berkata, tempoh 72 jam pertama selepas sesuatu bencana dianggap paling kritikal kerana mangsa mungkin perlu bergantung kepada bekalan sendiri sementara menunggu bantuan pihak berkuasa tiba.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan beg yang ringan, kalis air dan mudah dicapai, selain memeriksa keadaan barangan serta tarikh luput bekalan secara berkala.

Dalam pada itu, DDPM memaklumkan pihaknya turut memperkukuh kesiapsiagaan melalui penyediaan pasukan tindak balas kecemasan, peralatan menyelamat dan sistem amaran awal termasuk teknologi Cell Broadcast.

Agensi berkenaan juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

The post Thailand gesa rakyat sedia beg kecemasan, bekalan cukup untuk 72 jam appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved