Theta Edge dilantik pengendali rangkaian telekomunikasi sepanjang jajaran LRT Shah Alam selama lima tahun

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 6:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Theta Edge dilantik pengendali rangkaian telekomunikasi sepanjang jajaran LRT Shah Alam selama lima tahun Image from: Theta Edge dilantik pengendali rangkaian telekomunikasi sepanjang jajaran LRT Shah Alam selama lima tahun hamden08/09/2026 - 18:04 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept - Theta Edge Berhad (THETA) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Theta Telecoms Sdn Bhd (TTEL), dilantik sebagai Pengendali Rangkaian dan Rakan Strategik bagi pembangunan infrastruktur rangkaian telekomunikasi bersama sepanjang jajaran Laluan Shah Alam.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Theta berkata, TTEL pada 7 September 2026 menerima Surat Penerimaan (LOA) daripada Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRASARANA) bagi projek berkenaan, dengan tempoh kontrak awal selama lima tahun bermula 1 September 2026.

 

Di bawah projek itu, TTEL akan bertindak sebagai rakan perniagaan PRASARANA dengan menyediakan, memasang, menyelenggara dan melakukan servis terhadap semua perkakasan yang diperlukan, selain menyediakan perkhidmatan telekomunikasi serta menjana pendapatan daripada projek.

 

Pendapatan berulang yang dijana daripada projek tersebut akan dikongsi dengan PRASARANA berdasarkan kadar yang dipersetujui.

 

Berdasarkan pengaturan perkongsian hasil, PRASARANA berhak menerima minimum RM500,000 setahun atau 13% daripada hasil kasar projek, mana-mana yang lebih tinggi, sepanjang tempoh kontrak. Baki hasil pula akan menjadi milik TTEL.

 

Kontrak awal selama lima tahun itu boleh diperbaharui bagi dua tempoh berturut-turut, masing-masing selama lima tahun, tertakluk kepada semakan dan penilaian PRASARANA terhadap prestasi serta pematuhan TTEL terhadap terma dan syarat LOA sebelum setiap pembaharuan.

 

TTEL juga dikehendaki menyediakan jaminan bank RM500,000 sebagai Bon Prestasi Pembinaan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh LOA dan sebelum kerja pembinaan dimulakan.

 

Selain itu, jaminan bank RM500,000 lagi perlu dikemukakan dalam tempoh 14 hari daripada Tarikh Mula sebagai Bon Prestasi bagi menjamin pelaksanaan dan pematuhan perkhidmatan.

 

THETA berkata projek itu memberi peluang kepada kumpulan untuk memanfaatkan kepakaran sedia ada dalam telekomunikasi serta meneroka sumber pendapatan berulang bagi menyediakan aliran hasil dan tunai yang lebih stabil pada masa hadapan.

 

“Projek ini juga membolehkan THETA memanfaatkan pertumbuhan permintaan data pada masa hadapan di kawasan berkenaan,” menurut syarikat itu.

 

Untuk rekod, Theta Edge mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor ICT dan menyediakan penyelesaian infrastruktur telekomunikasi termasuk rangkaian gentian optik, infrastruktur menara serta sambungan pusat data.

 

Syarikat itu turut mempunyai penglibatan dalam projek infrastruktur digital nasional, termasuk penyempurnaan 221 infrastruktur telekomunikasi di bawah JENDELA Fasa 1.

 

Projek berkenaan akan dibiayai menggunakan dana yang dijana secara dalaman atau pinjaman.

 

Bagaimanapun, THETA memberi amaran bahawa LOA tersebut terdedah kepada risiko termasuk kemungkinan penamatan LOA dan ketidakupayaan memenuhi terma serta syarat yang ditetapkan, selain risiko yang sememangnya berkaitan dengan projek.

 

Lembaga Pengarah berkata pihaknya akan mengambil langkah yang diperlukan bagi memastikan terma dan syarat LOA serta projek yang berada dalam kawalan syarikat dipenuhi mengikut tempoh ditetapkan, selain melaksanakan langkah mitigasi sekiranya risiko timbul. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved