hamden08/09/2026 - 09:53 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Sept - Impak penyertaan tiga syarikat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd dan YTL dalam Digital Nasional Bhd (DNB) bakal dapat dilihat pada suku keempat tahun kalendar 2026 (4QCY26), kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, tiada lagi penangguhan akan diberikan dengan kesan daripada penyertaan itu terhadap penyata untung rugi (P&L) MNO dijangka kurang daripada 5% terhadap keuntungan bersih.
“Berdasarkan panduan terbaharu daripada MNO, kami memahami bahawa tiada lagi penangguhan dijangka berlaku. Oleh itu, sumbangan daripada DNB kepada syarikat bersekutu dijangka mula muncul dalam P&L MNO mulai 4QCY26,” katanya dalam nota penyelidikan.
Pemindahan pemilikan DNB daripada Kementerian Kewangan (MOF) kepada tiga MNO itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada pertengahan 2026, namun proses berkenaan ditangguhkan kepada awal 4QCY26.
MBSB Research berkata berdasarkan panduan terkini MNO, proses pemindahan tersebut dijangka diteruskan pada tempoh berkenaan tanpa penangguhan lanjut.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu melihat CY2027 sebagai tempoh yang lebih penting, memandangkan tahun tersebut akan menjadi tahun pertama yang menyaksikan kesan penuh penyertaan DNB terhadap prestasi kewangan MNO.
Kelebihan kepada CelcomDigi dan Maxis
Katanya, bagi CelcomDigi, potensi penjimatan kos daripada inisiatif kecemerlangan operasi dijangka mampu mengimbangi kesan negatif daripada penyertaan DNB.
CelcomDigi sebelum ini meningkatkan sasaran penjimatan kos FY26 kepada RM470 juta, berbanding RM450 juta, dengan sebahagian besar penjimatan dijangka direalisasikan pada separuh kedua FY26.
Tambah firma itu lagi, Maxis mungkin perlu bergantung kepada pertumbuhan secara tidak organik bagi mengukuhkan keuntungan bersih kumpulan dalam menghadapi kesan penuh penyertaan DNB.
Selain peningkatan berterusan dalam struktur kos tahunan Maxis sejak 2023, terdapat potensi peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang boleh membantu memperkukuh segmen perniagaan perusahaan syarikat.

Namun begitu, MBSB Research mengambil pendekatan berhemat dengan belum memasukkan kesan kewangan penyertaan DNB pada 4QCY26 ke dalam anggaran pendapatan buat masa ini.
Dalam perkembangan berkaitan, firma penyelidikan itu mengekalkan pendirian POSITIF terhadap sektor telekomunikasi dengan CelcomDigi dan Maxis sebagai pilihan utama, masing-masing dengan penarafan BELI dan harga sasaran RM3.54 serta RM4.05.
MBSB Research berkata pertumbuhan hasil perkhidmatan sektor telekomunikasi dijangka terus meningkat secara beransur-ansur, disokong segmen pengguna dan perusahaan, manakala hasil dividen syarikat telekomunikasi juga dilihat menarik pada sekitar 5%.
Katanya, segmen pascabayar dan gentian akan terus menyokong pertumbuhan pengguna, manakala segmen perusahaan berpotensi mendapat manfaat daripada penawaran rumusan digital dengan perkhidmatan mudah alih perusahaan menjadi asas pendapatan yang stabil.
Pascabayar kekal pemacu utama
Menurut MBSB Research, segmen mudah alih pengguna kekal sebagai penyumbang terbesar kepada hasil perkhidmatan MNO, dengan sumbangannya masing-masing sebanyak 70.2% bagi Maxis dan 76.9% bagi CelcomDigi.
Bagaimanapun, Maxis mempunyai campuran hasil pascabayar lebih tinggi sebanyak 61.4%, berbanding 49.9% bagi CelcomDigi.
Setakat 2QCY26, kedua-dua syarikat mencatat pertumbuhan asas pelanggan pascabayar masing-masing sebanyak 4.9% yoy bagi Maxis dan 3.8% yoy bagi CelcomDigi.
MBSB Research menjangkakan bahagian hasil pascabayar akan meningkat secara beransur-ansur apabila MNO terus menggalakkan migrasi pelanggan daripada prabayar kepada pascabayar menerusi pelan dan insentif yang lebih menarik.
Bagaimanapun, ARPU pascabayar Maxis dan CelcomDigi masing-masing susut sedikit kepada RM70.50 sebulan (-1.1% yoy) dan RM60 (-4.5% yoy).
Menurut firma itu, keadaan tersebut mungkin disebabkan peningkatan campuran pelanggan pascabayar peringkat permulaan.
Namun, ia tidak terlalu bimbang dengan perkembangan itu memandangkan kedua-dua MNO terus memperkukuh strategi pakej bersepadu atau convergence bundling, yang dijangka membantu meningkatkan purata hasil setiap akaun (ARPA). - DagangNews.com






