
BUKIT JALIL – THR GEGAR melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dalam tempoh sebulan, sekali gus mencatat sejarah tersendiri dalam industri penyiaran radio tempatan.
Pengurus Jenama THR GEGAR, Azah Sahrin berkata, kejayaan tersebut mencerminkan usaha berterusan stesen radio berkenaan dalam menghasilkan kandungan kreatif, selain menawarkan pengalaman berbeza kepada pendengar.
“Sangat berbangga atas pengiktirafan daripada MBOR. Dua rekod dalam tempoh sebulan bukan sahaja menjadi bukti keberanian serta komitmen pasukan THR GEGAR, malah mencerminkan semangat kami untuk menghasilkan kandungan unik, dekat dengan hati pendengar serta melangkaui batas penyiaran radio konvensional.
“Pencapaian ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa dedikasi penyampai, sokongan padu seluruh warga kerja THR GEGAR serta kepercayaan pendengar setia.
“Kami akan terus meneroka idea baharu, mencabar kebiasaan serta memperkenalkan lebih banyak aktiviti kreatif dan inovatif bagi memastikan THR GEGAR kekal relevan, menghiburkan serta menjadi pilihan utama rakyat Malaysia,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dua pengiktirafan berkenaan menyaksikan THR GEGAR tampil dengan cabaran penyiaran luar kebiasaan menerusi penglibatan penyampai dalam aktiviti ekstrem serta persembahan secara langsung di lokasi beraltitud tinggi.
Pengiktirafan pertama diraih menerusi pencapaian ‘Siaran Radio Langsung Pertama Dari Paramotor’, membabitkan penyampai Gegar Petang, Ewan dan Rea pada 4 September lalu sempena Jelajah KITA FM di Kelantan.
Cabaran tersebut berlangsung di Pantai Irama, Bachok apabila kedua-dua penyampai berani ke udara sambil berlegar menggunakan paramotor, sekali gus mencetuskan pengalaman penyiaran luar biasa.
Tidak berhenti di situ, THR GEGAR sekali lagi mencipta rekod menerusi ‘Persembahan DJ Radio Dikir Barat Secara Langsung Bertali Di Altitud Tertinggi’.
Rekod kedua itu dicatatkan penyampai Bro Pagi Gegar, Issey Fazlisham dan Fizie di puncak Kuantan 188 pada 24 September lalu.
Dalam suasana penuh debaran, kedua-dua penyampai berjaya menawan puncak mercu tanda berkenaan sebelum mempersembahkan Dikir Barat secara langsung dengan memakai tali keselamatan di altitud tinggi.
Mengulas pengalaman tersebut, Issey mengakui cabaran menawan puncak berkenaan pada awalnya hadir sebagai kejutan buat mereka berdua.
“Sebagai penyampai, kami agak terkejut tetapi memahami prosesnya. Bukan mudah untuk mendapatkan pengiktirafan MBOR dan ketika mendaki, pelbagai halangan serta cabaran terpaksa kami lalui.
“Saya sendiri sempat turun dan naik semula. Apabila sampai di atas, langsung tidak terfikir kami akan menerima MBOR. Namun, apabila mendapat tahu kami berjaya mencatat rekod, sehingga sekarang saya masih berasa seperti tidak percaya,” ujarnya.
Kedua-dua pencapaian tersebut sekali gus memperlihatkan keberanian THR GEGAR dalam mencabar kelaziman, selain memperkukuh usaha stesen berkenaan menghasilkan kandungan penyiaran kreatif, inovatif dan dekat dengan komuniti pendengar.
THR GEGAR merupakan sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, THR GEGAR mengetengahkan pilihan lagu dari Pantai Timur serta terus mengukuhkan kedudukannya sebagai stesen radio nombor satu di Kelantan, Terengganu dan Pahang. – KOSMO! ONLINE.
The post THR GEGAR cipta dua rekod MBOR dalam sebulan appeared first on Kosmo Online.





