Threads Versi Web Kini Menyokong Fungsi DM

TechnologyDigital
6 May 2026 • 12:20 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Threads Versi Web Kini Menyokong Fungsi DM

Kemaskini baharu Threads dilihat membolehkan pengguna menggunakan ciri mesej peribadi (DM) pada versi web. Langkah ini menjadi alternatif menarik selepas ciri DM diperkenalkan di aplikasi mudah alih hampir setahun lalu. Buat masa ini, fungsi tersebut masih dalam fasa pengujian melibatkan kelompok pengguna yang terhad bagi memastikan ia berfungsi dengan baik sebelum diperluaskan kepada lebih ramai pengguna dalam masa terdekat.

Image from: Threads Versi Web Kini Menyokong Fungsi DM

Melalui versi web ini, pengguna boleh mengakses peti masuk Threads dengan menekan ikon kapal kertas di bahagian kiri antaramuka. Semua mesej termasuk permintaan mesej, fungsi carian dan pilihan untuk memulakan perbualan akan dipaparkan di situ. Mesej juga boleh dikongsi dengan kenalan melalui fungsi “Send to” yang terdapat di bawah setiap siaran.

Threads turut mengekalkan kawalan keselamatan sama seperti pada aplikasinya di mana pengguna boleh menetapkan siapa yang boleh menghantar mesej sama ada hanya kenalan yang diikuti atau sesiapa sahaja secara terbuka. Melihat secara keseluruhan, susunan ciri ini sememangnya hampir sama dengan apa yang ditawarkan oleh X pada platform mereka.

Threads memaklumkan bahawa ciri DM di web ini akan diperluaskan ke lebih banyak negara untuk pengguna berumur 18 tahun ke atas. Di samping itu, ujian bagi fungsi sembang berkumpulan serta penambahan kawalan keselamatan turut akan dijalankan pada masa akan datang bagi meningkatkan pengalaman penggunaan.