TI-M pandang serius SPRM siasat pengambilalihan saham IJM

LocalBusiness & Finance
6 Mar 2026 • 3:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Raymond

SHAH ALAM - Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) memandang serius tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan baharu berhubung pengambilalihan saham IJM Corporation Berhad (IJM) oleh Sunway Berhad.

Presidennya, Raymon Ram berkata, ini kerana ia melibatkan kepentingan awam dan jumlah transaksi besar.

Sehubungan itu katanya, adalah wajar bagi SPRM menjalankan siasatan yang menyeluruh, bebas dan profesional bagi memastikan semua fakta berkaitan dapat dikenal pasti.

"Semua pihak yang berkaitan juga harus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan. Pada masa sama, proses ini harus dibiarkan berjalan secara profesional dan tanpa spekulasi.

"Tiada mana-mana pihak harus dianggap bersalah sehingga siasatan selesai dan fakta ditentukan melalui proses sewajarnya," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Rabu mengesahkan pihaknya membuka satu lagi kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan IJM dan kali ini membabitkan pengambilalihan saham oleh Sunway.

Menurut Azam, setakat ini tiga kertas siasatan sudah dibuka pihaknya terkait isu penyelewengan dalam konglomerat tersebut.

Mengulas lanjut, Raymon berkata, memandangkan perkara itu melibatkan syarikat tersenarai utama dan transaksi korporat yang besar aspek ketelusan juga amat penting.

Beliau menambah, pendedahan maklumat yang tepat dan tepat pada masanya melalui saluran kawal selia betul amat penting bagi memastikan pelabur mendapat maklumat sewajarnya serta mengekalkan keyakinan terhadap pasaran modal negara.

Kes tersebut juga katanya, perlu dijadikan peringatan kepada sektor korporat mengenai kepentingan tadbir urus yang kukuh serta kawalan antirasuah yang berkesan.

“Ini termasuk melaksanakan penilaian risiko yang sewajarnya, menjalankan usaha wajar terhadap transaksi dan rakan niaga, serta memastikan mekanisme pemberi maklumat yang berwibawa dan dilindungi,” katanya.