
PUTRAJAYA- Sebarang acara yang sepatutnya berlangsung di luar bangunan sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan di Sarawak tidak akan diteruskan susulan keadaan jerebu yang membimbangkan di Kuching dan Serian.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun sambutan Hari Malaysia akan tetap diadakan pada sebelah malam di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) secara ‘indoors’.
“Jemaah Menteri telah membincangkan dan mengambil maklum bahawa sambutan Hari Malaysia pada 16 September yang dijangka diadakan di sebelah malam akan diteruskan di BCCK.
“Dan Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa keadaan jerebu yang agak membimbangkan di Kuching dan Serian akan mengakibatkan acara-acara di luar bangunan tidak dapat diteruskan. Tapi, untuk sambutan Hari Malaysia, ia akan diadakan ‘indoors’ pada 16 September, sebelah malam,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan bahawa persiapan bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan khususnya di Sarawak tertakluk kepada keputusan dan pandangan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Jelasnya, ini kerana perkara itu berkait dengan keperluan mengesan kelompok awan yang bersesuaian bagi tujuan pembenihan awan.
“Menteri NRES, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup telah memaklumkan bahawa beberapa kumpulan awan, kelompok-kelompok awan yang telah dikesan didapati tidak bersesuaian kerana pergerakan angin telah memaksa awan-awan ini untuk berada di Laut China Selatan.
“Jadi, sekiranya dilakukan pembenihan, hujan tidak akan turun di kawasan yang diperlukan. Maka operasi tersebut adalah tertakluk kepada pandangan dan beberapa keputusan di Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada acara luar sempena Hari Malaysia di Sarawak susulan jerebu appeared first on Kosmo Digital.




