SHAH ALAM – Ajaran Qadiani atau Ahmadiah di negeri ini telah difatwa sebagai terkeluar daripada agama Islam masing-masing pada 24 September 1998 dan 17 Ogos 2000.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya sentiasa memantau serta mengambil tindakan terhadap sebarang aktiviti berkaitan fahaman itu.
"JAIS sentiasa memantau dan mengambil tindakan sewajarnya berkaitan ajaran ini termasuk mengenal pasti individu yang bukan dilahirkan sebagai Qadiani, status, cara pergerakan kumpulan, hubungan dan komunikasi serta aktiviti yang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Mohd Shahzihan merujuk kepada hantaran sebuah akaun Facebook yang mendakwa ajaran berkenaan tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama.
Beliau berkata, video yang ditularkan menerusi hantaran Facebook itu sebenarnya rakaman lama dari tahun 2019 yang dikumpul dan disebarkan semula.
Katanya, berdasarkan rekod, JAIS sudah menjalankan siasatan di lokasi berkenaan sejurus dimaklumkan mengenai video terbabit ketika itu, namun tidak menemui sebarang kegiatan seperti didakwa.
“JAIS turut menyiasat lapan lagi lokasi di Ulu Yam yang dikaitkan dengan kegiatan seumpamanya, namun tiada tanda-tanda aktiviti berlaku," ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai atau mengikuti sebarang program serta aktiviti yang mempunyai kaitan dengan ajaran Ahmadiah, Qadiani atau fahaman yang mempunyai ciri serupa.
Menurut Mohd Shahzihan, perbuatan itu merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.
"Umat Islam juga perlu berhati-hati kerana penampilan dan cara beramal kumpulan ini sangat menyerupai amalan umat Islam majoriti di negara ini.
"Bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan yang sukar dilihat dengan mata kasar dan dikenal pasti bercanggah dengan ajaran Islam mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” tambah beliau.



