Tiada apa yang membimbangkan - Carrick

Football
7 Sep 2026 • 8:46 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiada apa yang membimbangkan - Carrick
Carrick mengakui masih banyak kerja rumah buat United untuk memberi tentangan hebat dalam saingan EPL musim ini. FOTO: AFP.

MICHAEL Carrick tidak melihat permulaan Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sebagai sesuatu yang membimbangkan, namun mengakui masih banyak aspek perlu diperbaiki selepas mereka tercicir mata ketika berdepan Everton.

Pengendali Red Devils itu menegaskan pasukannya hampir membawa pulang kemenangan dari Stadium Hill Dickinson, tetapi kelemahan dalam mempertahankan kelebihan sekali lagi menghukum mereka.

"Ia tidaklah begitu teruk. Kami hampir sahaja membawa pulang tiga mata, itulah bola sepak. Ada beberapa perkara yang boleh kami lakukan dengan lebih baik," katanya.

United sebelum ini dilihat mempunyai laluan menarik untuk memulakan kempen apabila dijadualkan bertemu Hull dan Ipswich yang baru dinaikkan ke EPL, namun mereka hanya mengutip empat mata daripada tiga perlawanan pertama.

Pada aksi menentang Everton, United dua kali berada di depan selepas Bryan Mbeumo menjaringkan gol sejurus babak kedua bermula, sebelum Benjamin Sesko meletakkan pasukan pelawat 2-1 pada minit ke-88.

Namun, kemenangan yang sudah hampir dalam genggaman terlepas apabila Tyrique George dan Ainsley Maitland-Niles menghasilkan rembatan jarak jauh untuk membantu Everton mengikat kedudukan 2-2.

Lebih merisaukan, United sudah melepaskan dua gol dalam setiap tiga perlawanan liga setakat ini, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keputusan tidak memperkukuhkan benteng pertahanan dalam jendela perpindahan.

Sebaliknya, bajet terhad kelab digunakan untuk menambah kekuatan di bahagian tengah dengan tiga pemain baharu dibawa masuk.

Youri Tielemans menjadi satu-satunya daripada ketiga-tiga rekrut itu yang bermula dalam dua aksi terakhir, manakala Andrey Santos hanya berada di bangku simpanan dan Carlos Baleba masih belum dapat beraksi akibat kecederaan.

Carrick mengakui masalah pertahanan itu tidak boleh dipandang ringan kerana kemampuan mengawal permainan di belakang akan menjadi antara faktor penting dalam usaha United mengubah keputusan seri kepada kemenangan.

"Sudah tentu kami tidak boleh mengabaikannya. Kami perlu mengurangkan bolos untuk memberi peluang yang lebih baik kepada kami memenangi perlawanan, tetapi kami pasti akan melihat perkara itu dan terus memperbaiki diri," katanya.

Menurut Carrick, dua gol Everton juga hadir menerusi percubaan berkualiti dari luar kotak penalti, namun situasi itu tetap perlu dianalisis bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.

"Saya fikir jelas ada perkara yang perlu kami perbaiki sebagai satu pasukan. Ada dua rembatan dari jarak jauh, dua rembatan yang sangat baik daripada mereka yang kadang-kadang menerjah penjuru atas gawang," katanya.

United kini berdepan ujian lebih besar apabila Manchester City menanti mereka di Old Trafford pada hujung minggu depan, dengan Carrick perlu segera mencari formula untuk memastikan kelebihan yang dimiliki tidak lagi berakhir dengan kehilangan mata.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved