
PETALING JAYA: Pihak berkuasa tidak mempunyai sebarang asas untuk terus menahan Datuk Seri Najib Razak di Penjara Kajang walaupun sesaat susulan kenyataan Istana Negara.
Peguamnya, Muhammad Farhan Shafee berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim melalui Istana Negara telah menjelaskan bahawa Titah Pengampunan Diraja dikeluarkan terhadap anak guamnya adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti.
Katanya, ia juga tidak terkait dengan mana-mana kes lain dan semua syaratnya termasuk membayar denda sebanyak RM50 juta juga telah pun dipenuhi.
“Oleh itu, tiada sebarang asas bagi pihak berkuasa berkenaan untuk terus menahan Datuk Seri Najib (Razak) di (Penjara) Kajang walau sesaat.
“Pihak berkuasa mesti memindahkan beliau dengan segera ke kediamannya di Jalan Langgak Duta untuk menjalani tahanan di rumah, sebagaimana yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas penjelasan dikeluarkan.
“Perintah pengampunan ialah titah Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan dengan berkata, sebarang hujah mempertikaikan Titah Pengampunan Diraja yang dikeluarkan kepada Najib untuk menjalani tahanan di rumah selepas membayar denda RM50 juta, adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Perintah pengampunan bersyarat ini adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau.
“Tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran dan tidak sepatutnya menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan,” katanya.- UTUSAN
The post Tiada asas terus tahan Najib walau sesaat – Peguam appeared first on Utusan Malaysia.





