
KUALA LUMPUR: Tiada sebarang petunjuk menunjukkan penyalahgunaan pusat data di negara ini bagi menyalurkan cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi ke negara lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, namun kerajaan akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi meneliti perkara itu susulan laporan yang dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Malah katanya, Malaysia juga belum menerima sebarang permintaan rasmi daripada Singapura mahupun Amerika Syarikat (AS) berhubung isu berkenaan.
“Setakat ini, kita belum menerima sebarang permintaan sedemikian. Namun, sudah tentu kita akan memberikan kerjasama.
“Malaysia merupakan sebuah negara perdagangan. Kita mengalu-alukan pelaburan dan mahu memastikan semua peraturan dipatuhi,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Madrasathul Gouthiyyah Brickfields, di sini, hari ini
Beliau mengulas kenyataan MITI yang memaklumkan, kerajaan tidak pernah memberikan sebarang pelepasan kepada syarikat berpangkalan di Singapura, Megaspeed International Pte Ltd atau sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd.
Ia susulan dakwaan berhubung kemungkinan penyalahgunaan pusat data tempatan bagi menyalurkan cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi ke negara lain.
MITI memaklumkan Speedmatrix hanya berstatus penyewa di pusat data di Malaysia, manakala lawatan pengesahan kementerian ke premis berkenaan adalah sebahagian daripada pemantauan berkala terhadap sektor itu.
Menurut kementerian, lawatan berkenaan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai bukti syarikat terbabit sudah mendapat pelepasan. – UTUSAN
The post Tiada petunjuk pusat data disalah guna salur cip AI appeared first on Utusan Malaysia.





