
Tiada ‘cover-up’, siasatan pelajar maut di sekolah telus
Oleh MOHD FAHMI ISMAIL
PETALING JAYA – Polis memberi jaminan siasatan kes seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai dibunuh di dalam dewan sebuah sekolah di Yong Peng, di sini kelmarin, dijalankan secara menyeluruh dan telus.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen ‘cover-up’ atau melindungi mana-mana pihak.
“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen cover-up atau melindungi mana-mana pihak,” katanya dalam hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditangkap pada 3 Oktober lalu.
Permohonan reman terhadap remaja itu dibenarkan Majistret selama enam hari bermula 4 hingga 9 Oktober bagi membantu siasatan.
Bedah siasat dijalankan oleh pakar patologi forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat semalam.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah ‘blunt trauma to the head’.
Menurut kenyataan itu, pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dalam siasatan kes berkenaan.
“Kes masih dalam peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau memberikan sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Orang ramai juga diminta tidak memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada ‘cover-up’, siasatan pelajar maut di sekolah telus appeared first on Kosmo Online.




