
ISU hubungan antara mentua dan menantu ini sebenarnya sangat universal dan sentiasa menjadi topik hangat yang dekat di hati masyarakat.
Kisah 'perang dingin' atau salah faham dalam keluarga seolah-olah sudah menjadi lumrah, sehinggakan platform media sosial seperti Threads turut dihujani dengan pelbagai pandangan mengenai punca sebenar pergolakan ini berlaku.
Isu sensitif itu baru-baru ini kembali menuai perhatian ramai selepas pelakon, Sharifah Shahora memuat naik satu hantaran yang mempersoalkan dinamika hubungan tersebut.
Melalui hantaran yang mencuri tumpuan itu, Sharifah Shahora meluahkan rasa ingin tahunya tentang apa yang sering menjadi titik tolak kepada konflik keluarga tersebut.

"Saya tak ada mentua dan belum ada menantu, anak masih belajar.
"Cuma banyak saya baca luahan pasal hubungan ini. Mentua to menantu, hubungan yg boleh jadi sangat rapat, kadang-kadang mencabar jugak.
"Kenapa selalu ada salah faham antara mertua dgn menantu? Apa punca sebenarnya, iri hati tak puas hati atau busuk hati?" luah Shahora yang ternyata mengundang pelbagai respons daripada warga maya.
Pertanyaan terbuka itu kemudiannya menarik perhatian pelakon dan penerbit terkenal, Sheila Rusly, untuk tampil memberikan pandangannya.
Umum mengetahui, selebriti berusia 54 tahun itu sendiri mempunyai hubungan yang cukup akrab dan harmoni dengan kedua-dua menantu perempuannya.
Bagaimanapun, isteri kesayangan pengarah Jinggo ini mengakui bahawa setiap individu mempunyai fasa dan pengalaman yang berbeza, malah tidak semestinya kebahagiaan yang dilaluinya turut dirasai oleh orang lain.
Sambil memperbetulkan kenyataan sahabatnya itu, Sheila sempat mengimbas kembali memori lalu selain menitipkan pesanan yang cukup mendalam.
"Salah tu, awak ada mentua tapi dah meninggal beb, awak dengan mak mentua dulu ok kan? Tak ada isu busuk hati iri hati atau tak puas hati betul? Lain padang, lain belalang.
"Kalau kita ok, tak bermakna yang lain pun okey," ulas Sheila pendek namun penuh makna tentang realiti kehidupan berkeluarga.
Menariknya, di sebalik keakraban bersama menantu-menantunya sekarang, Sheila turut mendedahkan rahsia peribadinya yang tidak terlalu rapat dengan ibu mentuanya dahulu.
Dia mengakui mempunyai hubungan yang jauh lebih mesra dengan bapa mentua atas faktor keserasian. "Saya tak rapat dengan mak mentua, bercakap pun kurang. Lebih rapat dengan ayah mentua.

"Tak ada istilah iri hati, cuma kurang chemistry," kongsi Sheila secara terbuka tentang pengalaman dirinya sendiri.
Perkongsian jujur daripada dua selebriti ini nyata membuka ruang buat warga maya untuk turut sama meluahkan isi hati.
Malah, ramai yang senada dengan Sheila dan berkongsi pengalaman serupa di mana mereka lebih mudah 'masuk air' dengan bapa mentua. "Samalah.. saya lebih rapat dengan arwah bapak mertua.. dengan arwah mak mentua dulu cakap bila perlu aje.. tak tau kenapa.. cuba juga untuk berbual tapi sudahnya krik krik krik.. kalau dengan arwah abah, ada aje benda nak berbual lebih-lebih lagi abah pakar memasak," komen salah seorang netizen.
Ada juga yang mengakui bapa mentua sering menjadi tempat mengadu nasib dan bermanja. "Kita sama sis, lebih rapat dengan father-in-law berbanding mother-in-law. Banyak berborak dengan abah berbanding mak. Kadang slow-slow ngadu pasal anaknya dekat abah," tulis seorang lagi pengguna.
Bagi seorang netizen lain, coretannya ringkas namun mengusik jiwa apabila berkata, "Mak mentua saya dah meninggal sejak saya kahwin dengan husband, jadi tak pernah merasa macam mana ada mak mertua tapi pak mentua adalah masa tu, sekarang dah meninggal."
Namun begitu, tidak semua kisah berbunga indah kerana ada juga segelintir warga maya yang tampil berkongsi sisi gelap dan pengalaman pahit apabila hubungan dengan mentua tidak seindah yang diimpikan.
"Kadang-kadang benda ni jadi bila mertua berat sebelah dengan menantu kesayangan… ada juga mentua tak suka tengok menantu romantik dengan anak lelaki.. timbul rasa jealous," luah seorang netizen mengenai sikap pilih kasih yang sering menjadi racun dalam keluarga.
Lebih menyedihkan, ada yang terpaksa mengambil jalan drastik dengan menjauhkan diri demi menjaga kesihatan mental akibat sikap mentua yang gemar menjaja cerita dalaman kepada orang luar. "Mertua saya suka cerita hal anak-anak dekat orang luar, tu punca bergaduh sis. Lepas tu tiba-tiba salahkah saya yang punca cerita dekat luar padahal mereka. Anak-anak gaduh ke apa mereka cerita. Menantu gitu gini dia cerita dekat orang. Menantu lagi seorang tu kaya tak ada pula dia nak bercakap lebih-lebih, saya ni SPM saja tak kerja. Tapi dekat rumah tu apa-apa saya yang masak. Lagi seorang tu krik-krik dalam bilik tak ada nak tegur. Kalau saya dulu alahan duduk bilik tak keluar, duduk cakap saya macam-macam. Sekarang ni sangat jaga jarak saja sis, penat nak layan. Malas dah contact, semua saya dah delete," kongsinya panjang lebar dengan nada kecewa.
Konflik yang berpanjangan ini jika tidak dibendung rupanya boleh memberikan impak yang sangat besar kepada emosi seseorang, terutamanya menantu yang masih muda. "Sama kes dengan kawan saya. Umur muda lagi baru 23 tahun dah dapat penyakit depression, anxiety. Kesian dia. Tak nak cerai tapi bagi penyakit," tulis seorang netizen lagi yang mendedahkan betapa beratnya tekanan mental yang terpaksa ditanggung akibat kemelut hubungan keluarga ini.
Kesimpulannya, dalam soal hubungan mentua dan menantu, toleransi dan sikap saling menghormati adalah kunci utama bagi mengelakkan ikatan kekeluargaan yang dibina berakhir dengan duka.



