Tiada kawasan terpinggir peroleh peruntukan termasuk pembangkang

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 12:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiada kawasan terpinggir peroleh peruntukan termasuk pembangkang

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengulangi penegasan bahawa tiada kawasan yang dipinggirkan daripada mendapat peruntukan termasuk kawasan pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet di mana semua kawasan Parlimen perlu diberi pertimbangan dalam mendapat peruntukan.

“Saya beri contoh Terengganu itu negeri pembangkang, keseluruhannya RM6 bilion tetapi di bawah peruntukan Persekutuan dalam tahun 2027, kita naikkan jadi RM8.2 bilion.

“Jadi saya hendak jelaskan di sini isunya apakah ada pengurangan? tidak, malah ditambah dan saya tegaskan di sini daripada segi rekod baik setiap kawasan Parlimen atau negeri, kita tidak pinggirkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut), adakah kerajaan berhasrat untuk menggubal akta peruntukan sama rata dan menunaikan manifesto Pakatan Harapan (PH) sendiri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Perdana Menteri turut mengulas mengapa peruntukan tersebut tidak disalur terus kepada Ahli Parlimen.

“Wang yang diperuntukkan untuk parlimen Besut contohnya, itu untuk parlimen Besut. Siapa yang tentukan projek parlimen Besut? itu dari Besut dan kelulusan negeri dan kementerian-kementerian berkenaan.

“Dan jumlahnya bukan kecil seperti yang disebutkan. Tetapi yang dibangkitkan adalah mengapa tidak melalui ahli parlimen, itu beza,” katanya.

Jelas Anwar lagi, keadaan itu berbeza sewaktu ketika berada di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kerana semua semua ahli Parlimen berkenaan menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan dan PH.

“Peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen itu adalah berdasarkan persetujuan yang dicapai antara saya ketika menjadi Ketua Pembangkang dengan kerajaan pimpinan mantan Perdana Menteri dari Bera. Kami menandatangani apa yang dikenali sebagai CSA (Confidence and Supply Agreement).

“Selepas perjanjian itu ditandatangani, pelaksanaannya berjalan, walaupun tidak sepenuhnya seperti yang diharapkan. Bagaimanapun, jumlah peruntukan yang diberikan berbeza daripada tanggapan. Kami dianak tirikan tetapi rakyat tidak di anak tirikan, kawasan tidak dianak tirikan” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, setiap peruntukan tidak disalurkan kepada ahli parlimen kerajaan, sebaliknya mereka hanya meluluskan projek yang hendak dibangunkan.

“Apakah setiap projek melalui parlimen? Tidak. Dalam kawasan kerajaan pun tidak diberi kepada ahli parlimen. Ahli Parlimen sahkan projek, dana pembangunan tidak diberi kepada Ahli Parlimen.

“Soalnya kita SUdah minta kalau untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri II yang diberi mandat untuk bincang, jika ada tanda tangan, saya luluskan, bila bantah saya kata kalau tandatangan hari ini, esok luluskan.

“Tidak mahu runding itu bukan masalah saya,” katanya lagi. – UTUSAN

The post Tiada kawasan terpinggir peroleh peruntukan termasuk pembangkang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved