
KUALA LUMPUR – Kes jenayah melibatkan pelajar sekolah, termasuk yang berlaku dalam kawasan sekolah mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah semasa menerima menghadap rombongan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan program Ilham Seni Diraja, semalam.
Menurut hantaran di laman Facebook, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, pertemuan di Istana Negara itu turut membincangkan punca serta langkah menangani gejala sosial bagi mengurangkan risiko dan ancaman bahaya kepada pelajar sekolah.
“Antara perkara yang mendapat perhatian utama perbincangan hari ini adalah kes jenayah yang melibatkan pelajar sekolah, yang antaranya berlaku dalam kawasan sekolah itu sendiri. Apakah puncanya yang tersurat mahupun tersirat, dan apakah langkah yang boleh diambil dalam zaman serba moden kini?
“Semua yang hadir berkongsi pandangan dan pendapat berkenaan usaha menangani gejala sosial agar mengurangkan risiko dan ancaman bahaya kepada pelajar sekolah,” titah Raja Permaisuri Agong.
Menurut hantaran itu, pertemuan berkenaan turut membincangkan perkembangan terkini program Ilham Seni Diraja.
Rombongan UTM itu diketuai Naib Canselornya, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim dan Pendaftar, Datuk Dr Mohd Sharil Abdullah, bersama tiga mahasiswa.
Wakil program Ilham Seni Diraja pula diketuai Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Seni Kementerian Pendidikan Ithnin Mahadi, bersama tiga pelajar peserta program itu.
Turut hadir Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Affendy Zairakithnaini dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Hishamuddin Abd Rahim.
Hadir sama, Kaunselor dan Pakar Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja, Dr Noor Aishah Rosli serta Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Kemanusiaan Universiti Putra Malaysia, Dr Murni Wan Mohd Noor. – Bernama
The post Jenayah babit pelajar sekolah dapat perhatian Raja Permaisuri Agong appeared first on Kosmo Online.






