
PETALING JAYA: Kes jenayah membabitkan pelajar sekolah termasuk yang berlaku dalam kawasan sekolah mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dalam pertemuan bersama rombongan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan program Ilham Seni Diraja di Istana Negara, semalam.
Baginda bertitah, perbincangan turut memberi tumpuan kepada punca dan langkah yang boleh diambil untuk menangani gejala sosial dalam kalangan pelajar.
“Antara perkara yang mendapat perhatian utama perbincangan hari ini adalah kes-kes jenayah yang melibatkan pelajar sekolah yang mana antaranya berlaku dalam kawasan sekolah itu sendiri.
“Apakah puncanya yang tersurat mahupun tersirat dan apakah langkah yang boleh diambil dalam zaman serba moden kini?
“Semua yang hadir berkongsi pandangan dan pendapat berkenaan usaha menangani gejala sosial agar mengurangkan risiko dan ancaman bahaya kepada pelajar sekolah,” titah Raja Zarith Sofiah.
Pertemuan itu turut membincangkan perkembangan terkini Ilham Seni Diraja dan isu semasa berkaitan sektor pendidikan.
Rombongan UTM diketuai Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim dan Pendaftar UTM, Datuk Dr. Mohd. Sharil Abdullah bersama tiga mahasiswa.
Wakil Ilham Seni Diraja pula diketuai Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Seni Kementerian Pendidikan (KPM), Ithnin Mahadi bersama tiga pelajar yang menyertai program berkenaan.
Turut hadir Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Affendy Zairakithnaini dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Hishamuddin Abd. Rahim.
Turut serta kaunselor dan pakar kesihatan mental kanak-kanak dan remaja, Dr. Noor Aishah Rosli dan Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Murni Wan Mohd. Noor. – UTUSAN
The post Raja Permaisuri Agong cakna isu jenayah pelajar sekolah appeared first on Utusan Malaysia.






