Tiada Kes Scam Haji Tahun Ini, Kerajaan Ingatkan Orang Ramai Terus Berwaspada

LocalPolitics
13 Oct 2026 • 3:03 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Tiada Kes Scam Haji Tahun Ini, Kerajaan Ingatkan Orang Ramai Terus Berwaspada

SEPANG – Kejayaan membendung penipuan pakej haji sehingga tiada kes direkodkan sepanjang tahun ini membuktikan keberkesanan kerjasama penguatkuasaan serta kempen kesedaran yang dilaksanakan kerajaan bersama agensi berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, pencapaian itu merangkumi kes penipuan badal haji, sekali gus menunjukkan usaha melindungi masyarakat daripada sindiket tidak bertanggungjawab membuahkan hasil.

Image from: Tiada Kes Scam Haji Tahun Ini, Kerajaan Ingatkan Orang Ramai Terus Berwaspada

Menurutnya, kejayaan tersebut bagaimanapun tidak seharusnya menyebabkan masyarakat leka kerana kegiatan penipuan boleh berubah mengikut keadaan dan musim haji.

“Alhamdulillah, hasil kerjasama yang padu daripada semua pihak, kita berjaya mencatatkan sifar kes penipuan atau scammer, termasuk kes penipuan badal haji yang direkodkan untuk tahun 2026.

“Namun, kita tidak boleh berasa selesa. Setiap musim haji membawa cabaran dan modus operandi yang mungkin berbeza. Justeru, kewaspadaan masyarakat hendaklah terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-5 Pengelola Jemaah Haji (KHUP5) bagi musim 1448H/2027M di Movenpick Hotel & Convention Centre, di sini, pada Ahad.

Zulkifli berkata, kerajaan memandang serius kegiatan penipuan pakej haji dan terus memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Usaha itu turut melibatkan kempen kesedaran seperti “Tiada Visa, Tiada Haji” serta pemantauan terhadap iklan dan tawaran pakej haji atau badal haji yang mencurigakan di pelbagai platform media sosial.

Beliau menegaskan, Lembaga Tabung Haji (TH) tidak pernah melantik ejen individu selain daripada 34 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan secara rasmi.

“Mana-mana pihak atau individu yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan Tabung Haji merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas di bawah Akta Tabung Haji 1995,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pemegang visa haji Furada atau Mujamalah supaya menguruskan perjalanan dan kebajikan mereka menerusi syarikat PJH berlesen bagi memastikan urusan perjalanan dipantau serta kebajikan terpelihara.

Dalam perkembangan berkaitan, KHUP5 menghimpunkan 34 syarikat PJH berlesen bagi memberi peluang kepada bakal jemaah mendapatkan maklumat dan membuat perbandingan sebelum memilih pakej haji bersesuaian.

Menurut Zulkifli, syarikat berkenaan turut menawarkan pakej pada harga kompetitif, termasuk di bawah RM55,000, bagi membantu bakal jemaah merancang perjalanan mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Beliau turut mengingatkan semua PJH supaya terus mengutamakan integriti, profesionalisme, keselamatan dan kebajikan jemaah dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan serta memastikan industri haji dan umrah negara terus berdaya saing.

Katanya, kerjasama erat antara kerajaan, TH dan syarikat PJH penting bagi memastikan kepentingan jemaah Malaysia sentiasa terpelihara, khususnya dalam menghadapi perubahan dasar dan keperluan semasa yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved