Rakyat boleh tahu siapa menang tender, nilai kontrak kerajaan didedah mulai tahun depan – PM Anwar

LocalPolitics
12 Oct 2026 • 9:45 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Tiada lagi persoalan mengenai siapa memperoleh kontrak kerajaan, berapa nilai projek atau sejauh mana kerja pembinaan dilaksanakan apabila semua maklumat perolehan kerajaan bakal didedahkan kepada umum bermula tahun depan.

Image from: Rakyat boleh tahu siapa menang tender, nilai kontrak kerajaan didedah mulai tahun depan – PM Anwar

Foto: Berita Harian

Memetik laporan Harian Metro, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu membolehkan rakyat mengakses maklumat berkaitan projek pembangunan kerajaan, termasuk identiti syarikat yang menerima kontrak, kos pelaksanaan serta perkembangan kerja di lapangan.

Menurut beliau, pendekatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh tatakelola, meningkatkan ketelusan dalam pengurusan dana awam dan mengelakkan pembaziran serta ketirisan perbelanjaan negara.

“Mulai tahun depan, setiap kontrak membina sekolah, hospital, universiti mahupun jalan raya mesti dibuat secara telus.
“Rakyat boleh tahu siapa yang menang, berapa jumlahnya, syarikat mana yang dapat, kos dan tahap kemajuannya, serta sebab syarikat itu dipilih.
“Sebagai contoh, jika ada sekolah baharu dibina di Tumpat, rakyat di sana boleh lihat sendiri maklumat projek berkenaan dan menilai sama ada ia dilaksanakan oleh kontraktor yang bertanggungjawab atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim.

Image from: Rakyat boleh tahu siapa menang tender, nilai kontrak kerajaan didedah mulai tahun depan – PM Anwar

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, pendedahan maklumat tersebut akan memberi peluang kepada masyarakat, khususnya penduduk setempat, untuk memainkan peranan sebagai pemantau terhadap projek yang dilaksanakan di kawasan masing-masing.

Ini termasuk meneliti perkembangan pembinaan sekolah, hospital dan kemudahan awam lain bagi memastikan pelaksanaannya dapat dinilai berdasarkan maklumat yang disediakan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan memperbaiki sistem tatakelola negara susulan ketirisan dana berjumlah berbilion ringgit akibat amalan rasuah sebelum ini.

Menurutnya, wang yang hilang akibat penyelewengan sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh sektor pendidikan, membangunkan infrastruktur serta menyediakan kemudahan lebih baik kepada rakyat.

Pada masa sama, Anwar turut menyeru mahasiswa dan generasi muda supaya berani menyuarakan pandangan serta memainkan peranan dalam menentang rasuah, ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa.

“Generasi muda dan mahasiswa digesa supaya menjadi jurubicara hati nurani masyarakat dengan berani menentang ketidakadilan, rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
“Kerajaan juga tidak berhasrat menyekat kebebasan bersuara mahasiswa, malah komited meminda atau memansuhkan peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dilihat mengehadkan kegiatan mereka.
“Tiada sesiapa akan didakwa hanya kerana mempunyai idea atau kritikan, termasuk jika pimpinan mahasiswa memilih untuk mengkritik Perdana Menteri. Itu bukan satu jenayah,” jelasnya.

Pengumuman berkenaan sekali gus memperlihatkan perancangan kerajaan untuk membuka akses maklumat perolehan kepada rakyat, selain memberi ruang lebih luas kepada masyarakat meneliti penggunaan dana awam dan perkembangan projek pembangunan negara.

Sumber: Harian Metro (Essa Abu Yamin)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved