
Kota Kinabalu: Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan menegaskan bahawa Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor tidak akan berkompromi dengan kartel yang mahu mengaut keuntungan dari bumi Sabah.
Beliau menyokong tindakan tegas Ketua Menteri menolak 21 lesen perlombongan oleh Albert Tei, bagi mengelakkan hasil negeri dieksploitasi pihak luar. Menurutnya, keputusan ini penting bagi menghalang monopoli kekayaan Sabah.
“Kita tidak akan tunduk kepada kartel atau mana-mana pihak yang ingin memonopoli kekayaan bumi Sabah. Oleh itu, keputusan menolak lesen tersebut dibuat, dan ia merupakan satu keputusan besar.
“Ini melibatkan hak rakyat Sabah, maka wajar untuk kita pelihara demi memastikan kepentingan mereka terjaga,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

