
LAHAD DATU: Sifat saling menghormati dan bertolak ansur perlu sentiasa dititikberatkan oleh semua pemimpin masyarakat dalam setiap sesi bersama masyarakat bagi mengukuhkan perpaduan.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, dapat dilihat bahawa sifat saling menghormati semakin terhakis sehingga menyebabkan berlaku perbalahan yang menyentuh isu-isu sensitif, khususnya isu berkaitan 3R (raja, agama dan kaum).
Katanya, setiap pemimpin bertanggungjawab untuk menyampaikan kepada masyarakat mengenai kepentingan sikap saling menghormati dan toleransi bagi mengelakkan terjadinya perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Semua pihak, termasuk pemimpin masyarakat perlu saling mengingatkan bahawa sikap saling menghormati dan toleransi ini adalah kunci kepada perpaduan serta keutuhan negara.
“Kita telah lama hidup dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, dan kita hidup dalam keadaan yang harmoni. Ini semua kerana kita saling menghormati perbezaan antara kita, ini perlu kita teruskan,” katanya.
Mizma berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ihya Ramadan di Masjid Teck Guan, Kampung Bugis, Isnin.
Menurut Mizma, bulan Ramadan ini adalah masa yang sesuai untuk kita merapatkan kembali hubungan silaturahim antara kita.
Katanya, program seperti majlis berbuka puasa dapat menjadi platform untuk mengukuhkan ukhwah disamping mengimarahkan bulan Ramadan.
“Melalui majlis seumpama ini, kita juga dapat berkongsi rezeki dan membantu golongan Asnaf agar kita sama-sama dapat merasakan keindahan serta nikmat bulan Ramadan.
“InshaAllah, kita akan menyantuni lebih banyak masyarakat melalui Program Jelajah Ihya Ramadan ini agar lebih ramai yang mendapat manfaat,” tambahnya.

