
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat keharmonian negara.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Aro Dagang berkata, perpaduan dan keharmonian adalah aset terpenting negara yang dibarisi masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama.
Menurut beliau, mutakhir ini terdapat tindakan dan kenyataan tertentu yang mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat, khususnya apabila berlakunya pelbagai insiden menganggu gugat keharmonian.
“Ia termasuk baru-baru ini di sebuah cawangan kedai serbaneka KK Mart di Universiti Malaya (UM) yang disimbah cat merah oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Ketika ini, isu berkenaan penjualan produk sandwich ham dan keju telah berada dalam siasatan pihak berkuasa (Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan penguatkuasa KPDN),” katanya.

Aaron menarik perhatian, kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan dan akan meluaskan perkhidmatan Mediator Komuniti di peringkat akar umbi serta penggunaan sistem e-Sepakat.
“Sistem ini akan diperluaskan kepada orang ramai bagi membolehkan mereka membuat laporan berkaitan isu perpaduan,” katanya.
Jelas beliau, semua pihak diminta agar tidak mengeruhkan keadaan dengan mengeluarkan atau membuat tindakan provokasi.
“Saya ingin mengingatkan bahawa setiap warganegara Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk menjaga dan memelihara sensitiviti demi memastikan keamanan dan kesejahteraan negara kekal terjamin.
“Saya ingin menggesa agar semua pihak, sama ada individu mahupun kumpulan, tidak melakukan apa-apa tindakan atau kenyataan yang boleh merosakkan hubungan baik antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya.
Tegas beliau, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dengan lebih bertanggungjawab dalam memperkukuh hubungan antara masyarakat.
“Kehidupan berbilang kaum dan agama di Malaysia ini bertunjangkan prinsip saling memahami, menghormati, dan menerima.
“Prinsip ini selari dengan nilai-nilai murni yang terkandung dalam Rukun Negara serta prinsip integrasi nasional iaitu Faham, Hormat dan Terima,” katanya.
Beliau berkata, amat penting bagi rakyat untuk terus menghormati nilai-nilai ini sebagai asas perpaduan nasional, sebagai sebuah negara yang sedang menuju ke arah kemajuan.
“Apa-apa tindakan atau ucapan yang melanggar prinsip-prinsip ini harus dihentikan segera demi menjaga keamanan yang telah lama kita nikmati.
“Saya juga ingin menekankan bahawa perpaduan bukanlah tugas eksklusif kerajaan semata-mata, tetapi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia,” katanya.
KK Mart baru-baru ini sekali lagi menjadi isu hangat susulan penemuan produk makanan iaitu pek sandwich dengan status halal yang meragukan. - Getaran, 22 Januari 2025
