Tiada lagi baju lokap jingga, tangan bergari di Mahkamah Putrajaya hari ini

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 12:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tiada lagi baju lokap jingga, tangan bergari di Mahkamah Putrajaya hari ini

PETALING JAYA – Tiada lagi keperluan memakai pakaian lokap berwarna jingga bagi individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dibawa ke mahkamah untuk proses permohonan reman.

Situasi itu dapat dilihat pagi ini apabila bekas Pengarah Besar sebuah badan berkanun bergelar Datuk tiba di pekarangan Mahkamah Putrajaya di sini tanpa pakaian jingga dan tidak bergari.

Individu berusia dalam lingkungan 60-an itu memakai baju berkolar berwarna hijau dan tiba pada pukul 9.15 pagi dengan van SPRM bagi proses permohonan reman.

Perkembangan itu selaras dengan keputusan SPRM untuk menggantung serta-merta syarat mewajibkan individu yang disiasat memakai pakaian lokap jingga ketika dibawa ke mahkamah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat susulan perkembangan terkini dan syor berkaitan prosedur mengendalikan orang yang disiasat khususnya ketika dibawa ke mahkamah.

Katanya, orang yang disiasat dibenarkan memakai pakaian sendiri apabila dibawa ke mahkamah, manakala pakaian jingga pula akan digunakan sepanjang mereka ditahan di lokap.

Selain itu, penggunaan gari pula tertakluk kepada keadaan kes tersebut. Pengecualian turut diberikan bagi individu yang uzur, orang kurang upaya, kanak-kanak dan warga emas.

Semalam, dua individu termasuk bekas Pengarah Besar sebuah badan berkanun bergelar Datuk ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di Kuala Lumpur.

Kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 50 dan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. – KOSMO! ONLINE

The post Tiada lagi baju lokap jingga, tangan bergari di Mahkamah Putrajaya hari ini appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved