Tiada laporan kes cubaan larikan kanak-kanak di Taman Tas, Taman Tas Ria

22 Aug 2024 • 4:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mesej yang tular berkaitan cubaan melarikan kanak-kanak di beberapa platform media sosial sejak Khamis. (Gambar kecil: Wan Mohd Zahari)

KUANTAN - Polis Kuantan mengesahkan tiada sebarang laporan diterima berkaitan cubaan melarikan kanak-kanak yang didakwa berlaku di Taman Tas dan Taman Tas Ria sebagaimana tular di beberapa platform media sosial pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, setakat ini tiada mana-mana individu atau pihak yang terlibat tampil.

"Sekiranya ada individu, saksi yang melihat atau mempunyai maklumat bagi membantu siasatan berkaitan kejadian ini boleh tampil ke mana-mana balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat," katanya pada Khamis.

Terdahulu, tular mesej berkaitan cubaan melarikan kanak-kanak di beberapa platform media sosial sejak awal pagi Khamis.

Masej yang tersebar berbunyi "Mohon ambil anak on time (tepat pada masanya) selepas waktu balik sekolah.

"Semalam ada dua kes cubaan menculik, menyamar untuk ambil anak balik sekolah di kawasan Taman Tas, Taman Tas Ria. Mohon perhatian ya penjaga."

Sehubungan itu, Wan Mohd Zahari menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang penyebaran maklumat yang tidak betul atau sebarang spekulasi berhubung sesuatu kejadian di media sosial.

Tegasnya, tindakan ini boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai.