Tiada laporan siasatan RCI TH disembunyikan

LocalPolitics
1 Aug 2026 • 6:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiada laporan siasatan RCI TH disembunyikan

SEREMBAN: Tiada mana-mana bahagian dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) akan disembunyikan, sebaliknya keseluruhan laporan itu akan diterbitkan untuk pengetahuan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil keputusan mendedahkan laporan berkenaan termasuk syor serta proses yang berlaku sepanjang siasatan tanpa memotong mana-mana bahagian.

Beliau berkata, penelitian terhadap laporan itu juga akan diperluaskan melangkaui tempoh asal sehingga 2020 bagi melihat perkembangan selepas tempoh tersebut termasuk tindakan yang diambil oleh jawatankuasa berkaitan dan Lembaga Pengarah TH.

“Kita akan terbitkan keseluruhannya. Laporan, rekomendasi dan proses-proses yang diambil. Kita telah ambil keputusan sebarkan keseluruhannya.

“Tidak ada Perdana Menteri atau Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan memotong mana-mana aspek laporan,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Kariah Paroi Jaya di sini semalam.

Anwar berkata, laporan RCI TH itu merangkumi perkembangan sejak 2014 termasuk amaran awal daripada Bank Negara Malaysia pada 2014 dan 2017.

Katanya, kerajaan mahu rakyat Malaysia khususnya umat Islam mengetahui perkara sebenar berkaitan pengurusan institusi berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab terhadap kerugian TH perlu disiasat dan didakwa jika terdapat asas kukuh.

Menurut beliau, tindakan itu penting supaya pendedahan dalam laporan RCI dapat dijadikan pengajaran serta memastikan perkara sama tidak berulang pada masa depan.

“Pihak yang bertanggungjawab mesti disiasat dan didakwa jika perlu, seterusnya kepada proses pendakwaan dan hukuman,” katanya.

Anwar turut menjelaskan pendedahan laporan RCI TH tidak akan menjejaskan hubungan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Ahmad Zahid bersama menteri-menteri daripada Barisan Nasional (BN) turut bersetuju supaya laporan berkenaan didedahkan sepenuhnya.

“Dalam laporan TH ini memang ada tekad bersama dan persetujuan untuk menjelaskan laporan ini,” katanya. – UTUSAN

The post Tiada laporan siasatan RCI TH disembunyikan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved