Tiada lonjakan perbelanjaan iklan, Maybank IB jangka prestasi Media Prima lemah pada FY25

LocalBusiness & Finance
29 May 2025 • 10:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tiada lonjakan perbelanjaan iklan, Maybank IB jangka prestasi Media Prima lemah pada FY25

image is not available

29/05/2025 - 10:53

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - Ketiadaan acara atau program besar yang mampu melonjakkan perbelanjaan iklan dijangka menyebabkan Media Prima Bhd mencatatkan prestasi lebih lemah pada FY25, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Firma penyelidikan itu mengurangkan unjuran pendapatan kumpulan itu sebanyak 31% selepas mengambil kira kadar cukai yang lebih tinggi iaitu 50% sepanjang FY25 hingga FY27 berbanding 28% sebelum ini.

"Kami menjangkakan potensi pendapatan kumpulan kekal mendatar terutamanya dalam aspek adex dalam jangka masa pendek disebabkan penurunan perbelanjaan pada suku keempat FY25 memandangkan ketiadaan acara mesra adex.

"Selain itu, kebimbangan terhadap sentimen pengguna yang tidak menentu susulan pengesahan rasionalisasi subsidi RON95 bagi kumpulan berpendaoatan diasasar pada separuh kedia 2025," katanya dalam satu nota kajian.

Terdahulu, untung bersih bagi 3QFY25 merosot kepada RM1.37 juta berbanding RM2.47 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan suku tersebut kekal stabil pada RM211.58 juta, turun sedikit sebanyak 0.8% berbanding RM213.22 juta dalam 3QFY24.

Penurunan pendapatan dalam segmen penerbitan, cabang pemasaran Omnia, media luar rumah dan digital telah mengimbangi peningkatan dalam segmen beli-belah dari rumah dan penyiaran.

Penurunan keuntungan adalah disebabkan cukai yang lebih tinggi sebanyak RM3.91 juta berbanding RM587,000 dalam 3QFY2024.

Ini berpunca daripada syarikat-syarikat yang mengalami kerugian telah mengurangkan keuntungan sebelum cukai kumpulan, sekali gus menyebabkan kadar cukai efektif yang lebih tinggi.

Bagi 9MFY25, untung bersih Media Prima merosot sebanyak 75.2% kepada RM6.76 juta daripada RM27.23 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, apabila jumlah pendapatan menurun 2.5% kepada RM634.54 juta berbanding RM650.92 juta sebelum ini.

Maybank IB percaya, prestasi suram itu turut mencerminkan bajet pengiklanan yang lebih lemah dan kesan daripada tempoh iklan yang lebih singkat disebabkan sambutan perayaan yang berlaku berturut-turut dalam 3QFY25 (Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri).

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) 40 sen sesaham.- DagangNews.com

featured standard