PETALING JAYA - [KEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk kekal dalam Perikatan Nasional (PN) dan akan menggunakan logo gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa tidak ada mana-mana pihak boleh mengambil tindakan menyingkirkan Bersatu daripada gabungan itu secara 'unilateral'.
"Kalau ikut Perlembagaan, ada fasal-fasal yang perlu patuh antaranya mesti ada konsensus, maknanya tidak boleh satu pihak sahaja, mesti kesemua bersetuju.
"Jadi, itu menguatkan lagi kedudukan kita sebagai anggota parti dalam Perikatan Nasional," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di Ibu Pejabat Bersatu di sini pada Selasa.
Hadir sama, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pada masa sama, Muhyiddin memaklumkan persiapan menghadapi PRN terbabit telah digerakkan lebih awal dengan turun padang melawat kawasan-kawasan yang dikenal pasti untuk ditandingi.
"Pemimpin telah memulakan kerja dan telah melawat hampir semua kawasan yang kita sudah kenal pasti untuk ditandingi berdasarkan kepada persetujuan yang lalu.
"Kita tidak pasti sama ada parti-parti lain mahu bertanding, itu soal mereka. Tetapi parti kita telah membuat keputusan berhubung kerusi-kerusi yang akan dipertandingkan di Johor dan di Negeri Sembilan," ujarnya lagi.
Muhyiddin turut mengumumkan pelancaran jentera pilihan raya Bersatu Johor akan diadakan di Bakri, Muar pada 21 Jun ini.
"Kita juga akan mengumumkan sebahagian calon-calon berprofil tinggi yang kita sudah kenal pasti dan sudah diputuskan untuk dijadikan calon kita.
"Dengan gerak kerja yang tersusun, kita boleh mencapai kemenangan di PRN Johor dan juga di PRN Negeri Sembilan," katanya.






