Tiada pampasan pengambilan tanah punca untung bersih Atlan merosot 71% kepada RM14.8 juta bagi FY26

LocalBusiness & Finance
29 Jun 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tiada pampasan pengambilan tanah punca untung bersih Atlan merosot 71% kepada RM14.8 juta bagi FY26 Image from: Tiada pampasan pengambilan tanah punca untung bersih Atlan merosot 71% kepada RM14.8 juta bagi FY26 amree29/06/2026 - 15:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 JunAtlan Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM14.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026 (FY26), susut 71.3% daripada RM51.7 juta pada tahun sebelumnya.

 

Penurunan ketara kali ini disebabkan terutamanya oleh ketiadaan pampasan tidak berulang pengambilan tanah berjumlah RM69.6 juta yang pernah diterima kumpulan tersebut pada tahun kewangan sebelum itu.

 

Perolehan bagi FY26 juga merosot kira-kira 9.7% kepada sebanyak RM411.0 juta dipengaruhi sumbangan hasil yang lebih rendah daripada segmen pembuatan komponen automotif dan juga segmen bebas cukai.

 

"Operasi segmen bebas cukai terjejas akibat penutupan outlet di Johor Bahru, Johor kerana ketiadaan pembaharuan lesen perniagaan dan di Langkawi, Kedah disebabkan kerja pengubahsuaian," maklum Atlan.

 

Bagaimanapun, prestasi kumpulan itu sebahagiannya diperkukuhkan oleh keuntungan tidak berulang daripada pembatalan pengiktirafan pajakan susulan penutupan outlet di Johor Bahru tersebut.

 

Atlan_DagangNews2026

 

Selain itu, bagi syarikat menyelaraskan struktur perniagaan, ia melupuskan kesemua 100% pegangan dalam United Industries Holdings Sdn Bhd (UIG) kepada anak syarikatnya, Duty Free International Limited.

 

Langkah penjualan penuh dengan nilai RM175 juta itu bertujuan meningkatkan tahap kecekapan operasi dan menyediakan modal kerja tambahan untuk Atlan mengembangkan segmen hartanah dan hospitaliti.

 

"Meskipun berdepan persekitaran ekonomi mencabar, ia mengisytiharkan dividen 10 sen sesaham, yang memberikan hasil dividen 3.7% berdasarkan harga penutupan saham pada akhir Februari 2026," katanya.

 

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Adam Sani Abdullah menyatakan kumpulan kekal berhati-hati namun optimis terhadap prestasi kewangan akan datang melalui perancangan strategik dan pengoptimuman kos.

 

Atlan juga fokus kepada kemampanan perniagaan teras, dalam usaha mengekalkan kedudukan kewangan kukuh dengan baki tunai dan bank berjumlah RM273.1 juta setakat 28 Februari 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved