Untung bersih Manforce susut 23% bagi FY26 berikutan kekurangan pengurusan pekerja asing

LocalBusiness & Finance
29 Jun 2026 • 4:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Manforce susut 23% bagi FY26 berikutan kekurangan pengurusan pekerja asing Image from: Untung bersih Manforce susut 23% bagi FY26 berikutan kekurangan pengurusan pekerja asing amree29/06/2026 - 16:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 JunManforce Group Berhad mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 22.7% kepada RM7.88 juta bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026 berbanding tahun sebelumnya.

 

Kumpulan tersebut menjelaskan bahawa prestasi hambar ini disebabkan oleh jumlah pekerja asing yang lebih rendah di bawah pengurusannya susulan tamat kontrak pekerjaan bagi pelanggan utama tertentu.

 

Ketiadaan kemasukan pekerja asing baharu selepas tarikh akhir 31 Mei 2024, serta peningkatan kos buruh langsung termasuk upah dan sumbangan statutori turut menjejaskan margin keuntungan kumpulan.

 

"Syarikat ini mencatatkan hasil sebanyak RM174.92 juta, susut kira-kira 3.4% berbanding RM181.09 juta pada FY25," jelas Manforce dalam makluman kepada Bursa Malaysia melalui Laporan Tahunan 2026.

 

Bagaimanapun tambahnya, sektor pengurusan pekerja asing dan perkhidmatan buruh secara manual kekal sebagai penyumbang utama dengan mewakili kira-kira 99% daripada jumlah pendapatan keseluruhannya.

 

Dalam perkembangan lain, kumpulan turut mencapai mercu tanda penting apabila berjaya memindahkan penyenaraian daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 6 Mei 2026.

 

Manforce_DagangNews2026

 

Melalui proses pemindahan tersebut, Manforce berjaya mengumpul dana tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM30.40 juta melalui terbitan 79.99 juta saham biasa baharu pada harga 38 sen sesaham.

 

"Kumpulan ini mengekalkan kedudukan tunai yang stabil dengan baki RM10.97 juta, manakala nisbah penggearan atau hutang bertambah baik kepada 0.3 kali berbanding 0.4 kali pada FY25," katanya lagi.

 

Meskipun masih lagi berdepan pelbagai cabaran, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutifnya, Tengku Faizwa Tengku Razif menyatakan keyakinan pengurusan terhadap asas jangka panjang perniagaan syarikat.

 

Dana daripada IPO itu ujar beliau, akan digunakan untuk Manforce merekrut tambahan 6,000 pekerja asing termasuk 5,000 di bawah kuota pelanggan, serta melabur dalam rumusan digital bersepadu.

 

Mereka juga merancang untuk mengembangkan lagi perkhidmatan pengurusan asrama ke arah pengurusan kuarters pekerja berpusat (CLQ), yang dijangka akan memberikan sumbangan positif kepada hasil.

 

"Pada masa sama, usaha itu meningkatkan kebajikan pekerja asing, apabila tinggal dalam asrama yang lebih sistematik dan dapat dipantau pihak berkuasa untuk jangka panjang," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved