
Tiada Penyesalan, Saya Terima Ini Adalah Ujian – Bella
Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah berkata beliau menganggap episod perceraiannya sebagai satu ujian dan pengalaman hidup, selain tiada penyesalan ke atas apa yang telah berlaku.
Dalam perkongsian menerusi instagram miliknya, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata dia juga kini sudah bersedia untuk menempuhi fasa hidup yang baharu bersama anak-anaknya.
Pelakon itu turut menegaskan bahawa dia telah memberikan banyak peluang sebelum ini tetapi dia tidak mampu melawan takdir.
“Saya selalu percaya bahawa peluang mampu mengubah seseorang tetapi hanya jika digunakan dengan baik. Dan kesalahan yang dibuat berulang-ulang bukanlah satu kesilapan akan tetapi pilihan.
“Saya selalu mengimpikan rumahtangga yang kekal tetapi bila difikirkan balik, seberapa banyak peluang yang saya berikan tapi pada akhirnya saya tidak mampu melawan takdir,” katanya.
Bella turut meluahkan bahawa dia tidak lagi mampu meneruskan perjuangan yang sia-sia. Dia juga berdoa agar kehidupannya bersama anak-anak selepas ini dipermudahkan.
“Sudah cukup memperjuangkan hubungan ini tapi perjuangan ini sia-sia kerana saya seorang sahaja yang berjuang.
“Doa saya agar kehidupan baru saya bersama anak-anak dipermudahkan dan saya akan cuba sebaik mungkin menjadi ibu dan bapa yang terbaik untuk mereka,” katanya.
Dalam pada itu Bella juga mengucapka terima kasih kepada keluarga, sahabat, rakan-rakan industri, media dan semua pengikut yang mendoakan dia dan anak-anak.
“Semoga segala doa yang baik-baik berbalik kepada anda semua.
“Selepas hari ini, saya tidak lagi ingin mencintai seseorang terlalu dalam, kerana jika berpisah, lukanya pun pasti terlalu dalam,” luahnya melalui hantaran Instagram tengah hari tadi.
Terdahulu, Bella Astillah dan Aliff Aziz telah bercerai talak satu apabila pelakon dari Singapura itu melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat pada jam 1.10 petang di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sumber: Instagram Bella Astillah
The post Tiada Penyesalan, Saya Terima Ini Adalah Ujian – Bella appeared first on Siakap Keli.


